am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Gudang simpanan barangan elektrik dipercayai tiruan diserbu pihak berkuasa hari ini, susulan dakwaan ia digunakan untuk jualan di media sosial, khususnya TikTok.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, dalam serbuan 11.30 pagi itu pihaknya turut menahan pekerja wanita tempatan berusia 40-an untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebelum itu KPDN menerima aduan wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang curiga dengan aktiviti penjualan barangan elektrik dipercayai tiruan di premis itu.
“Susulan itu, pemeriksaan dijalankan menemui 572 unit barangan elektrik dipercayai tiruan dianggarkan RM27,279, antaranya pengisar, pengering rambut, pelurus rambut, pencukur dan berus gigi elektrik.
“Barangan ini disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan semuanya dirampas bersama beberapa dokumen untuk sitaan.
“Dalam temubual terhadap pekerja wanita itu, dia memaklumkan gudang sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan pemilik sebenar semua barangan adalah individu warga China.
“Wanita ini hanya sebagai pekerja menguruskan barangan yang dihantar ke gudang berdasarkan arahan pemilik,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak, hari ini.
Jegan berkata, semua barangan itu dipercayai dijual di TikTok dengan memfokuskan pasaran tempatan, yang mana urus niaga diuruskan pemilik di China.
“Pemilik akan meminta pekerja wanita itu membuat pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan tempatan,” katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Beliau mengingatkan mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tiada kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan kerana ia kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.
Pengguna juga katanya, dinasihat agar berhati-hati ketika membeli dan tidak menyokong penjualan produk tiruan.
© New Straits Times Press (M) Bhd