SEREMBAN: Dua kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan didakwa dengan dua pertuduhan menggunakan invois dan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan fotografi serta promosi media sosial bagi perlumbaan motocross Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Zon Selatan 2022.
Tertuduh, Pegawai Belia dan Sukan, Rosdi Pilus, 50, dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohd. Saiful Abdul Talib, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois perkhidmatan fotografi, dokumentasi dan promosi media sosial bagi perlumbaan motocross KBS Zon Selatan 2022 bertarikh 9 dan 13 Februari 2023 atas nama Ad Suria Enterprise keseluruhan berjumlah RM4,000.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Seremban pada Februari hingga Mei 2023.
Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainuddin menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi setiap tertuduh.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isteri dan dua orang anak.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Sementara itu, di kamar sama, Mohd. Saiful tidak mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu resit perkhidmatan pas petugas dan resit bayaran air mineral keseluruhan berjumlah RM1,133.60 bertarikh 10 hingga 12 Februari atas nama Puncak Pateh Enterprise dan Riang Tinggi Enterprise.
Kesemua kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama. Mahkamah membenarkan Mohd. Saiful dijamin RM5,000 bagi empat pertuduhan tersebut. – UTUSAN