am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mampu hidup mewah dengan memiliki kedai emas dan jongkong emas hasil wang rasuah yang diterima dalam tempoh empat tahun lalu.
Itu tindakan sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Difahamkan wang haram itu berjaya dikumpul suspek berusia 40-an hasil peranannya mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.
Hasil siasatan mendedahkan pasangan terbabit menggunakan nama adik pegawai wanita terbabit dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas itu dengan modal berjumlah kira-kira RM600,000.
Pasangan itu ditahan SPRM menerusi Operasi Dygo sebelum Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, membenarkan permohonan reman SPRM terhadap suspek selama lima hari bermula 10 September sehingga esok.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek terbabit dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.
Beliau berkata, proses itu memerlukan majikan menghantar fail pekerja warga asing berkenaan untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.
“Selepas melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).
“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing,” katanya.
Menurutnya, bayaran rasuah itu diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail dan suspek menerima RM150 bagi setiap warga asing.
Katanya, dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai berjaya mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah.
Dalam pada itu, beliau berkata, semasa serbuan dibuat di kedai barangan kemas di Pahang itu, suspek didapati mempunyai simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai harga semasa kira-kira RM1.4 juta.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd