[DIKEMAS KINI] ULTRAS Pahang, Elephant Army (EA) menafikan membuat kerjasama dengan sebuah jenama dimiliki oleh seorang usahawan yang juga pempengaruh.
Ia susulan tular penggunaan logo tidak sah EA pada pakaian yang dijual oleh pihak tersebut.
“Kami ingin memaklumkan bahawa terdapat insiden penggunaan tidak sah logo Elephant Army oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sebagai sebuah pergerakan bebas, kami amat menitikberatkan penggunaan logo kami. Ini bagi mengelakkan terjadinya salah faham dan usaha pengambilan untung yang berlawanan dengan prinsip kami.
“Kami amat menitikberatkan integriti simbol-simbol yang mewakili kami dan ingin menjelaskan tidak ada sebarang kerjasama antara jenama tersebut dengan pihak kami,” ujar kenyataan rasmi EA di Facebook milik mereka pada Isnin.
Kenyataan itu juga memberitahu, pihak EA menegaskan bahawa logo tersebut telah didaftarkan secara rasmi sebagai cap dagangan di bawah perbadanan harta intelek Malaysia.
Ujarnya, proses pendaftaran tersebut adalah untuk melindungi hak cipta dan memastikan bahawa logo itu hanya digunakan dalam konteks yang sah dan dengan kebenaran pihak EA.
Jelas EA lagi, hak cipta adalah hak eksklusif yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk satu tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka dan perlindungan hak cipta di Malaysia adalah berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987.
“Kami ingin menasihati kepada mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan logo kami sama ada sengaja atau tidak sengaja kerana menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 38, Akta Cap Dagangan 1976 dan boleh diambil tindakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ignorance of law is not an excuse! Respect the logo! Elephant Army,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, usahawan tersebut, Khalieda Yusra yang dikenali dengan produk Kieda Crepe dalam hantaran Facebook miliknya memberitahu, pihak mereka memohon kerjasama pelanggan yang telah membeli pakaian tersebut supaya memulangkan semula produk itu selain meminta maaf kepada EA kerana menggunakan logo terbabit.
“Kita belajar lagi pengalaman baharu. Kieda minta semua repost video ni supaya kami tidak mahu makan duit haram melalui logo orang seperti mana netizen komen.
“Kita nak cari rezeki yang berkat. Minta jasa baik semua customer return balik baju yang dibeli. Dan mohon maaf kepada pihak EA kerana mengunakan logo tersebut,” ujarnya.
Difahamkan sebanyak 150 helai baju berkenaan telah dijual.
Dalam hantaran itu juga, sebuah klip video berdurasi satu minit 34 saat dimuat naik memaparkan lelaki dikenali Amy yang juga suami Khalieda memberitahu, pihaknya akan menggantikan pakaian tersebut dengan membuang logo EA dengan logo baharu dan akan dipos kembali kepada pelanggan pada kadar segera.