TUMPAT: Taktik licik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menjadikan tangki ubah suai dan ruang simpanan ikan sebagai ‘stor rahsia’ terbongkar selepas selepas diserbu anggota penguat kuasa di jeti nelayan Kampung Geting di sini semalam.
Serbuan pukul 4.53 petang menerusi Op Tiris 4.0 itu membawa kepada tangkapan empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, semua suspek ditahan semasa sedang leka memindahkan bahan bakar bersubsidi itu menggunakan pam dan hos ke dalam tangki tambahan yang diubah suai dan ruang simpanan ikan dari bot Kelas A ke Kelas C.
Katanya, tindakan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan daripada dicekup.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot tersebut telah menjumpai 3,300 liter diesel yang disembunyikan dalam ruang simpanan ikan dan tangki tambahan di dalam empat buah bot Kelas A dan C.
“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah memanipulasi bekalan diesel bersubsidi yang disyaki diperuntukkan kepada nelayan dengan mengumpulnya daripada bot sebelum dipindahkan ke bot bersaiz lebih besar,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, bahan bakar itu kemudian akan diseludup ke negara jiran melalui laluan laut dan sebahagiannya disyaki dijual kepada pengusaha kapal besar.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
“Nilai keseluruhan rampasan bot termasuk diesel bersubsidi bernilai RM722,176,” ujarnya.-UTUSAN






