Guru Pasti, pekerja Pas tidak ada gaji, adakah mereka juga malaikat? 

Guru Pasti, pekerja Pas tidak ada gaji, adakah mereka juga malaikat? 


KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali secara sinikal mempersoalkan sekiranya guru-guru Pusat Tunas Asuhan Islam (Pasti) juga adalah ‘malaikat’ kerana tidak diberi gaji dan elaun.

Malah, kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), pekerja parti di pejabat Pas juga barangkali boleh dianggap malaikat kerana menerima gaji kecil antara RM400 hingga RM500 sahaja sebulan.

Sehubungan itu, tambahnya, sindiran Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam kerana tidak mengambil gaji sebenarnya turut ditujukan kepada guru Pasti dan pekerja parti Pas.

“Jadi kalau begitu, pimpinan PAS perlu kasihankan pekerja-pekerja parti seperti PASTI yang tidak diberi gaji dan elaun kerana mereka diumumkan oleh pemuda PAS sebagai sukarelawan tanpa redha mereka.

“Guru-guru PASTI ini malaikat barangkali yang tidak makan dan minum, tidak ada rumah dan tiada kenderaan hanya terbang dengan sayap. Begitu juga pekerja parti di pejabat PAS yang menerima gaji kecil 4,5 ratus sahaja sebulan. Mereka juga malaikat barangkali.

“Jadi sindiran Dato Tuan sebenarnya sindiran pada guru-guru PASTI dan pekerja parti yang atas nama perjuangan mengorbankan gaji mereka.

“Jadi guru PASTI sukarela atas nama perjuangan tak mengambil gaji sebagaimana PM sukarela atas nama keyakinan perjuangan beliau tidak menerima gaji,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, sindiran Tuan Ibrahim terhadap Perdana Menteri dengan alasan seorang Rasul pun mengambil peruntukan yang Allah SWT sediakan barangkali menjadi dalil kepada pimpinan Pas mengambil gaji dan elaun sebagai Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, Exco dan Pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) ketika ini.

Semalam ketika perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Tuan Ibrahim membangkitkan persoalan bagaimana Anwar memperoleh pendapatan jika beliau tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.

Dalam nada berseloroh, Tuan Ibrahim berkata, seorang Rasul pun diberikan “peruntukan” oleh Allah SWT untuk rezekinya.

“Saya rasa Tambun (Anwar) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji…sebab kalau tengok dari segi data yang ada, rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi.

“Ini nampak lebih (hebat) daripada rasul ni. Mungkin dia malaikat kut, dia tak makan gaji,” katanya seperti dipetik laporan media. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top