am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Selepas lima hari bertarung nyawa, seorang guru tabika yang tidak sedarkan diri akibat dipatuk ular tedung hitam meninggal dunia pagi ini.
Aznon Sapin@Mohd Said, 56, yang juga guru Tabika Kemas di Sri Gading, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.20 pagi selepas tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam Selasa lalu.
Menurutnya anak arwah, Nur Fatihah Najwa Hamsan, 26, kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika emaknya sedang mengemas barangan di dapur.
“Sehari sebelum itu, ada majlis merisik adik, Nurul Shuhada, 24. Keesokan hari, selepas solat Isyak, emak ke dapur untuk menyusun pinggan dan barangan yang digunakan pada majlis itu.
“Tidak lama kemudian, emak berlari ke ruang tamu memanggil saya sambil meminta tolong. Waktu itu, saya sedangkan tidurkan anak dalam bilik.
“Saya tanya emak kenapa, dia beritahu kaki kena gigit. Saya terus keluar dan lihat darah keluar melalui celah jari kaki emak,” katanya ketika ditemui Masjid Jamek Kampung Batu Puteh Darat, Parit Sulong di sini, hari ini.
Tidak lama kemudian, Nur Fatihah berkata, arwah memberitahu dia sudah tidak mampu bergerak manakala matanya mula kabur.
Menurut Nur Fatihah, dia segera masuk dalam bilik untuk mengambil anak dan juag dokumen penting untuk membawa emaknya ke HSNI.
“Emak tidak mampu bergerak dan saya kuatkan tenaga dengan memapahnya masuk dalam kereta. Sepanjang perjalanan, emak mengerang kesakitan namun saya hanya mampu memintanya supaya mengucap.
“Sebaik tiba di hospital, emak sudah tidak sedarkan diri, doktor kemudian melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) selama 10 minit, barulah dia kembali bergerak.
“Doktor beritahu, pada ketika itu jantung emak terhenti seketika sebelum dibawa ke ICU untuk rawatan lanjut. Tiga hari emak dimasukkan ke ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa.
“Namun emak masih tidak sedarkan diri tetapi apabila kami bercakap, dia dengar cuma hanya mampu mengalirkan air mata,” katanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, Nur Fatihah berkata, dua hari sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat bercuti di Cameron Highlands dengan menganggap ia adalah waktu terindah terakhir bersama arwah.
“Ayah, Hamsan Sujak, 63, yang baru pulang ketika segera ke dapur dan membunuh ular hitam terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah arwah Aznon yang selesai dimandikan di HSNI dibawa ke masjid Kampung Batu Puteh Darat dan selamat dikebumikan selepas Zohor.
© New Straits Times Press (M) Bhd