Gusar Keterbukaan Timbulkan Rasa Kurang Senang, Nora Danish Mahu Jaga Privasi

Gusar Keterbukaan Timbulkan Rasa Kurang Senang, Nora Danish Mahu Jaga Privasi


Pelakon terkenal Nora Danish mengakui sedikit gusar apabila keterbukaannya berkongsi mengenai lelaki yang kini dikaitkan dengannya, Mickey Ayo, mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak.

Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, turut bimbang sekiranya hubungan yang sedang terjalin itu tidak berjalan seperti yang diharapkan ramai.

“Sejujurnya saya mahu jaga privasi saya dan dia (Mickey). Dia pun agak terkejut bila video kopiah putih tu tular, kesian juga dekat dia. Saya pun rasa gementar, takut ada pihak yang terasa hati dengan kisah ini,” katanya kepada XTRA.

Nora ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Amber, Oasis 2.0 – Mirage: A Secret by The Desert, yang berlangsung di butik Amber Flagship, Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apabila ditanya siapa yang dimaksudkan dengan “pihak yang mungkin terasa”, Nora berkata dia sendiri tidak pasti, namun menganggap ia boleh jadi sesiapa sahaja.

“Peminat saya ramai, jadi mungkin ada yang tersentuh dengan perkongsian saya,” ujarnya tanpa menujukan kepada mana-mana individu tertentu.

Mengulas soal perkahwinan, bintang sitkom Puteri ini menegaskan dia masih terbuka untuk bercinta dan tidak pernah serik dengan pengalaman lalu.

“Saya tak pernah anggap cinta itu satu penyesalan. Semua ini sebahagian daripada perjalanan hidup untuk kita belajar dan jadi lebih matang. Kalau pernah gagal, saya takkan berhenti percaya pada cinta atau lelaki.

“Saya percaya Allah akan hadirkan seseorang yang lebih baik untuk saya dan bantu saya jadi insan lebih baik juga. Sudah tentu saya nak berkahwin, sebab seronok kalau dapat kejar syurga bersama pasangan. Kalau sorang-sorang, penat juga,” katanya sambil tertawa kecil.

Nora menggambarkan Mickey sebagai seorang yang lucu dan menyenangkan, malah akui lelaki itu kini individu yang paling rapat dengannya.

“Saya serahkan semuanya pada Allah. Kalau Dia permudahkan urusan kami, mungkin dialah orangnya. Insya-Allah,” katanya lagi.



Source link

OR

Scroll to Top