GWM lancar WEY G9 Hi4 PHEV, MPV mewah tenaga baharu

GWM lancar WEY G9 Hi4 PHEV, MPV mewah tenaga baharu


KUALA LUMPUR: Great Wall Motor (GWM) Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif negara menerusi pelancaran WEY G9 Hi4 PHEV, MPV mewah plug-in hibrid pertama dari China yang dipasang sepenuhnya di Malaysia.

Pelancaran itu menzahirkan hala tuju strategik jenama WEY di pasaran tempatan, selain mencerminkan keyakinan GWM terhadap peranan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan tenaga baharu bagi rantau ASEAN.

Majlis yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam, dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, bersama Naib Presiden GWM International, James Yang, Ketua Jurutera Sistem Bervoltan Tinggi GWM, Dr Hu Xin, serta pengurusan kanan GWM Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata pemasangan tempatan WEY G9 Hi4 PHEV bukan sekadar langkah pengeluaran, sebaliknya sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat untuk membangunkan ekosistem automotif bernilai tinggi di Malaysia.

Menurut Roslan, pendekatan pemasangan CKD membolehkan pemindahan teknologi yang lebih tersusun, memperkasa rantaian pembekal tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain meningkatkan kecekapan kawalan kualiti.

Tambah beliau, operasi pemasangan di Melaka turut memberi kelebihan dari segi kos dan kebolehskalaan pengeluaran, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rangkaian global GWM bagi kenderaan tenaga baharu.

Sistem hibrid pintar Hi4

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, menyifatkan pelancaran model berkenaan sebagai sejajar dengan aspirasi global GWM dalam memperluas penawaran kenderaan hibrid dan elektrifikasi.

Katanya, WEY G9 Hi4 PHEV mencerminkan kekuatan GWM dari segi inovasi teknologi, standard keselamatan serta reka bentuk berorientasikan pengguna, di samping menyokong peranan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan eksport serantau.

Dari sudut prestasi, WEY G9 Hi4 PHEV menggunakan sistem hibrid pintar Hi4 yang menggabungkan enjin petrol turbo dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa 442 PS dan tork 642 Nm. 

Gabungan itu membolehkan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam dicapai dalam 5.7 saat, selain disokong Intelligent Torque Vectoring Control bagi kestabilan dan kawalan pemanduan.

Fokus terhadap keselesaan

Di samping itu, MPV ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer, manakala jarak keseluruhan melebihi 1,000 kilometer, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer, termasuk ketika paras bateri rendah.

Fokus terhadap keselesaan diterjemahkan melalui ruang kabin yang luas dengan lantai rata, tempat duduk hadapan berbalut kulit Nappa lengkap fungsi pengudaraan dan tempat duduk pemandu dengan fungsi urutan, tempat duduk baris kedua jenis Zero Gravity dengan fungsi urutan, serta baris ketiga yang direka untuk kegunaan penumpang dewasa. 

Tahap kesenyapan kabin direkodkan pada 63.4 desibel, diperkukuh dengan sistem audio premium 21 pembesar suara berkuasa 2,440 watt.

Dari segi praktikaliti dan keselamatan, WEY G9 dilengkapi 11 port USB, sokongan kuasa luaran 3.3 kW, peti sejuk panas dan sejuk 12.5 liter, serta struktur badan dengan lebih 83 peratus keluli berkekuatan tinggi, 3107mm ekstra panjang beg udara tirai penuh dan lebih 20 ciri bantuan pemandu Tahap 2. Sistem baterinya pula telah melalui 89 ujian keselamatan.

WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan pada harga RM269,800, bersama pakej pemilikan termasuk penyelenggaraan percuma lima tahun, pengecas dinding rumah, waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan serta perlindungan sistem hibrid sehingga lapan tahun atau 180,000 kilometer. 1,000 pemilik terawal turut menikmati skrin hiburan 15.6 inci percuma untuk tempat duduk baris kedua.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black.

Sebagai model pemasangan tempatan, WEY G9 turut menyokong peranan Malaysia sebagai hab eksport serantau GWM, dengan penghantaran ke Thailand telah bermula dan pasaran ASEAN lain dijangka menyusul.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top