London: Viktor Gyokeres menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal ketika The Gunners menutup kempen pramusim dengan kemenangan 3-0 ke atas Athletic Club, awal pagi tadi.
Penampilan pertama Gyokeres dalam kesebelasan utama Arsenal menentang Villarreal berakhir tanpa jaringan dan kekalahan pada pertengahan minggu lalu, namun penyerang baharu bernilai £63.5 juta (RM juta) itu tersenyum puas pada aksi keduanya di Emirates.
Menerima hantaran sempurna daripada Martin Zubimendi, Gyokeres menanduk masuk bola melepasi penjaga gol lawan, Unai Simon pada minit ke-34 sebelum meraikan dengan gaya ikoniknya buat kali pertama bersama jersi Arsenal, sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah.
Sorakan bergema sekali lagi hanya dua minit kemudian selepas Bukayo Saka menambah gol kedua untuk Arsenal.
Separuh masa kedua menyaksikan kemasukan Noni Madueke, namun Gyokeres terus mencuri tumpuan ketika dia semakin serasi dengan persekitaran baharunya di London utara.
Gyokeres hampir menambah gol kedua apabila menyambut hantaran silang Madueke dengan tandukan deras ke penjuru bawah, namun Simon cemerlang menepis bola sehingga terkena tiang dan selamat.
Aksi itu antara yang terakhir dilakukannya sebelum digantikan Kai Havertz pada minit ke-70.
Tanpa Gyokeres, Arsenal tetap berbahaya apabila Havertz menutup aksi gemilang The Gunners dengan jaringan ketiga.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan apa yang dipamerkan Gyokeres dan memberi amaran kepada pesaing Arsenal mengenai ancaman penyerang itu.
“Segala yang dilakukannya adalah secara naluri. Sebab itulah dia menjaringkan begitu banyak gol dalam beberapa musim kebelakangan ini.
“Dia mampu mengunci kedua-dua pertahanan tengah lawan. Apabila anda memberinya ruang satu lawan satu, dia akan memusnahkan anda. Dia juga akan membuka banyak ruang untuk kami.
“Dalam apa jua keadaan, dia adalah pemain yang mampu menjaringkan gol,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd