East Rutherford: Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland mengakui peluang negaranya untuk terus melangkah dalam Piala Dunia semakin sukar selepas diundi bertemu gergasi Amerika Selatan, Brazil pada aksi pusingan 16 terbaik.
Walaupun Norway menampilkan prestasi cemerlang dengan tiga kemenangan daripada empat perlawanan setakat ini, bintang Manchester City itu enggan terlalu yakin menjelang pertemuan getir terbabit.
Norway mara selepas menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik apabila Haaland muncul wira dengan jaringan minit ke-86 hasil hantaran Patrick Berg.
Namun, penyerang berusia 24 tahun itu mengakui mereka akan berdepan tentangan sengit untuk meneruskan kemaraan pada edisi kali ini.
“Kami ke pusingan 16 terbaik, akan ada pasukan hebat. Ia tidak mudah, kami perlu realistik. Saya tidak tahu sama ada kami akan berjaya. Kami sudah bersedia tetapi masih sangat perlu bersedia,” katanya.
Apabila ditanya mengenai peluang menyingkirkan Brazil, Haaland menjawab ringkas ‘sangat tipis’.
Dalam masa sama, Haaland terus menyerlah di pentas global apabila kini mengumpul lima gol, hanya ketinggalan satu gol di belakang Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan Kasut Emas.
Ketajamannya lebih mengagumkan apabila beliau kini merekodkan 60 gol dalam hanya 53 penampilan antarabangsa, menjadikannya antara pemain paling prolifik dalam bola sepak dunia ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






