Haaland 'tenang' di New York

Haaland 'tenang' di New York


New York: Selepas meledak dua gol yang mencetuskan kegembiraan di Norway, Erling Haaland mengambil peluang menikmati cuti singkat dengan meluangkan masa bersama pasangannya, Isabel Haugseng Johansen, di New York.

Penyerang berusia 25 tahun itu memilih untuk tampil sederhana dengan memakai topi besbol berwarna cerah dan cermin mata hitam ketika melawat beberapa lokasi terkenal di bandar itu.

Haaland turut memuat naik gambar mereka di Times Square dan di hadapan restoran terkenal, Katz’s Deli di media sosial, tanpa disedari orang ramai.

“Ia membantu menyembunyikan rambut saya,” tulis Haaland di Snapchat merujuk kepada rambut perang panjangnya yang biasanya diikat ketika beraksi.

Haaland menjaringkan dua gol ketika Norway membelasah Iraq 4-1 dalam aksi pertama Piala Dunia, penampilan pertama mereka di kejohanan itu selepas 28 tahun.

Kemenangan itu membolehkan skuad Norway menikmati beberapa hari rehat sebelum berdepan Senegal dalam aksi Kumpulan I pada 22 Jun di Stadium New York/New Jersey.

Jurulatih Norway, Stale Solbakken berkata, dia gembira membenarkan pemainnya berehat dan meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.

“Semua orang memerlukan sedikit rehat. Pemain mendapat manfaat apabila dapat menenangkan fikiran dan menjauhkan diri seketika daripada saya serta orang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top