Haba, ribut ancaman di Piala Dunia Kelab boleh berulang di Piala Dunia 2026

Haba, ribut ancaman di Piala Dunia Kelab boleh berulang di Piala Dunia 2026


Los Angeles: Haba seperti dalam relau dan ancaman guruh serta kilat sedang mengganggu perjalanan Piala Dunia Kelab dan perkara sama dijangka berlaku pada Piala Dunia 2026.

Dengan gelombang haba melampau akibat perubahan iklim yang melanda timur Amerika Syarikat (AS), penyesuaian terhadap cuaca kini menjadi fokus utama jurulatih dan pemain.

Borussia Dortmund mengambil langkah luar biasa dengan meninggalkan pemain simpanan mereka di bilik persalinan pada separuh masa pertama menentang Mamelodi Sundowns di Cincinnati, daripada membiarkan mereka duduk di bangku simpanan di bawah terik matahari.

Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca pula menamatkan sesi latihan pasukannya di Philadelphia lebih awal pada Isnin apabila bandar itu mencatat suhu setinggi 99 darjah Fahrenheit (37.2 darjah Celsius).

Jurulatih Dortmund, Niko Kovac berkata, keadaan cuaca boleh menentukan hala tuju kejohanan ini.

“Saya fikir kejohanan ini tidak akan dimenangi oleh pasukan terbaik, tetapi oleh pasukan yang paling mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. Mereka mungkin akan menjuarainya,” kata Kovac.

Walaupun rehat penyejukan di pertengahan setiap separuh masa telah menjadi standard sepanjang kejohanan, Dortmund seperti pasukan lain turut mengambil langkah tambahan untuk menangani haba dan kelembapan.

“Pemain kami dijaga dengan sangat baik oleh doktor dan staf perubatan kami,” kata Kovac.

“Kami menggunakan tuala yang sangat sejuk. Kami rendamkan mereka dalam air ais. Pemain perlu menyejukkan kaki dan betis mereka dalam air sejuk dan mandian ais.”

Pengalaman di Piala Dunia Kelab ini mungkin menjadi gambaran awal apa yang boleh dijangkakan pada Piala Dunia tahun depan di AS, Kanada dan Mexico.

Satu kajian yang diterbitkan oleh *International Journal of Biometeorology* baru-baru ini memberi amaran mengenai risiko haba melampau terhadap pemain dan penonton semasa kejohanan itu, dengan menyatakan perubahan iklim sebagai punca kejadian haba melampau yang semakin kerap dan teruk.

Kajian yang menganalisis data dari tahun 2003 hingga 2022 itu menyimpulkan 14 daripada 16 bandar tuan rumah untuk Piala Dunia 2026 sering mencatat suhu melebihi ambang selamat yang diterima umum bagi suhu *wet bulb globe temperature* (WBGT) – satu ukuran yang meluas digunakan untuk tekanan haba.

Kajian itu mencadangkan agar perlawanan dijadualkan di luar waktu tengah hari apabila keadaan biasanya paling mencabar.

Selain daripada haba dan kelembapan melampau, pasukan di Piala Dunia Kelab turut berdepan gangguan perlawanan akibat ancaman kilat.

Pada Selasa, perlawanan antara Boca Juniors dan Auckland City menjadi perlawanan kelima dalam kejohanan ini yang mengalami kelewatan panjang akibat peraturan keselamatan awam di AS yang mengarahkan perlawanan dihentikan apabila terdapat kilat dalam jarak 10 batu (16.1 kilometer) dari stadium.

Kelewatan cuaca dalam perlawanan Benfica menentang Auckland menyebabkan gangguan hampir dua jam.

Pegawai Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Ben Schott, yang memberi nasihat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan pasukan petugas Piala Dunia 2026 berkata, cuaca yang sedang melanda kejohanan ini bukanlah luar biasa, dan pasukan serta peminat tahun depan perlu membuat persiapan sewajarnya.

“Tiada apa yang luar biasa sedang berlaku walaupun kami sedang memecahkan rekod,” kata Schott kepada AFP.

“Kebanyakan kawasan di timur Amerika Syarikat sedang memecahkan rekod dan perkara ini berlaku hampir setiap musim panas.

“Jadi menjangkakan perkara serupa tahun depan adalah sesuatu yang perlu dipersiapkan oleh sesiapa yang mahu datang dan menikmati perlawanan.”

Walaupun haba menjadi isu ketika AS menjadi tuan rumah Piala Dunia terakhir pada 1994, tiada perlawanan pada waktu itu yang dihentikan kerana amaran ribut.

Ini adalah hasil daripada teknologi ramalan cuaca yang semakin canggih, kata Schott.

“Kita kini berada di tahap boleh mula melihat keadaan cuaca hampir seminggu lebih awal dan meramalkannya dengan agak tepat, berbanding 15 hingga 20 tahun lalu,” kata Schott.

“Kemajuan dalam bidang meteorologi sejak Piala Dunia terakhir di sini pada 1994 sangat ketara.”

Schott berkata, guruh dan kilat adalah perkara biasa di beberapa kawasan di Amerika Utara.

“Ini adalah cuaca yang agak tipikal bagi Amerika Syarikat untuk waktu tahun ini,” katanya.

“Kami menerima banyak kelembapan dari Teluk Mexico dan ia menyebabkan ribut petir muncul pada waktu petang.

“Jadi apabila kita menghampiri Piala Dunia 2026, perkara yang sedang berlaku sekarang ini mungkin akan berlaku lagi.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top