Habib mahu KDA FC bangkit di gelanggang JDT

Habib mahu KDA FC bangkit di gelanggang JDT


KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu bangkit pada separuh akhir kedua Piala FA 2024-2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada malam Ahad jika mahu mara ke final.

Tonggak tengah import Sang Kenari, Habib Haroon berkata, semua pemain KDA FC perlu fokus sepenuhnya di atas padang bagi memadam kelebihan lawan yang menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar pada 19 Julai lalu.

Menurutnya, mereka juga tidak mahu memikirkan kelebihan yang dimiliki penyandang juara Piala FA itu apabila beraksi di laman sendiri selain mendapat sokongan puluhan ribu penyokong Harimau Selatan.

“Kami ketinggalan satu gol kepada JDT selepas tewas pada aksi pertama Piala FA di laman sendiri namun semangat kami tidak patah untuk bangkit memburu kemenangan di gelanggang lawan yang dianggap sukar.

“Saya mengidamkan bersama rakan-rakan lain membawa KDA FC melangkah ke final. Impian ini saya sematkan sejak kami layak ke saingan suku akhir selepas menang ke atas Penang FC dengan agregat 1-0 sebelum ini,” katanya.

Jelas Habib, jaringan tunggalnya yang berjaya dilakukan di Stadium Darul Aman juga menjadi inspirasi terbaik buatnya untuk memberikan segala-galanya di SSI.

Jelasnya, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain bakal menyenaraikan kesebelasan utama pemain untuk memburu keputusan positif dalam usaha untuk mengejutkan pasukan tuan rumah.

“Saya dan rakan sepasukan yakin kami akan turun sehabis baik bagi mencapai sasaran pasukan pada musim ini,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top