‘Habis gugur rambut saya’ – Guardiola

‘Habis gugur rambut saya’ – Guardiola


PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memberikan reaksi mencuit hati kepada wartawan selepas kemenangan mendebarkan 5-4 ke atas Fulham di Craven Cottage, pada Rabu.

Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ternyata penuh dengan aksi dramatik apabila skuad kendalian Guardiola dipaksa berhempas pulas menahan kebangkitan luar biasa Fulham.

Malam yang sepatutnya berakhir dengan kemenangan selesa buat pengendali dari Catalan itu sebaliknya bertukar menjadi salah satu perlawanan paling dramatik musim ini, meskipun Erling Haaland terus melakar sejarah dan Phil Foden mempamerkan prestasi memukau di hadapan gol.

Perlawanan bermula dengan langkah kanan buat City apabila Haaland meledak gol ke-100 dalam EPL seawal minit ke-17 sekali gus menjadi pemain terpantas dalam sejarah mencapai angka tersebut.

Gandingan mantapnya di babak pertama turut menyaksikan dia membantu jaringan Tijjani Reijnders sebelum Foden menambah gol ketiga City.

Bagaimanapun, respons Fulham cukup garang. Tandukan Emile Smith Rowe menyalakan semangat penyokong di Craven Cottage. City kelihatan kembali mengawal permainan pada awal babak kedua, melebarkan kedudukan kepada 5-1 hasil jaringan Jeremy Doku yang terbias, namun tuan rumah melancarkan kebangkitan lewat yang menakjubkan.

Jaringan Alex Iwobi dan dua gol pantas daripada Samuel Chukwueze mengubah perlawanan menjadi aksi kejar-mengejar yang mencemaskan. Sorakan padu penyokong tuan rumah mendesak Fulham memburu gol penyamaan, namun tindakan pantas Josko Gvardiol mengeluarkan bola di garisan gol menyelamatkan City daripada keciciran mata.

Melangkah masuk ke sidang akhbar selepas perlawanan, Guardiola lantas memberikan reaksi spontan mengenai aksi 90 minit yang baru berakhir dengan bertanya kepada wartawan: “Kamu semua terhibur? Bagus, kan?”

Apabila ditanya sama ada dia sendiri menikmati perlawanan tersebut, Guardiola dengan nada berseloroh menjawab: “Saya?! Tuhanku! Habis gugur rambut saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Guardiola mengakui dia tiada jawapan konkrit mengenai apa yang berlaku.

“Saya tahu kamu akan tanya apa yang terjadi tetapi saya tiada jawapan. Inilah EPL bukan? Bola sepak adalah emosi.

“Kesemua gol (yang dibolosi) adalah kelemahan pertahanan di bahagian tepi, kami turun terlalu ke bawah untuk bertahan, kami perlu menutup ruang dengan lebih baik. Namun kami melakukan perkara yang sangat baik menentang pasukan yang begitu sukar.

“Menjaringkan gol-gol berkualiti seperti itu, cara kami bertahan tetapi selepas itu, Erling (Haaland) berpeluang menjadikan 6-3, seminit kemudian jadi 5-4. Jangan tanya saya bagaimana, pemain pun tak tahu dan anda perlukan nasib,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pep Guardiola mengakui kemenangan 5-4 atas Fulham sebagai salah satu perlawanan paling dramatik musim ini
  • Erling Haaland mencetak gol ke-100 dalam EPL menjadi pemain terpantas mencapai angka tersebut
  • Fulham melakukan kebangkitan lewat permainan yang mengejutkan, mengubah kedudukan menjadi 5-4
  • Tindakan pantas Josko Gvardiol mengeluarkan bola di garisan gol menyelamatkan City dari kehilangan mata
  • Guardiola berkelakar tentang kehilangan rambutnya dan mengakui tidak mempunyai jawapan konkrit atas apa yang berlaku dalam perlawanan



Source link

OR

Scroll to Top