mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan May, Abu melahirkan hasratnya untuk bersara daripada bidang seni disebabkan berdepan masalah kesihatan serius.
Abu atau nama sebenarnya, Mohd Nassier Yusof, 59, berkata dia memang sudah tidak berdaya untuk terus bergiat aktif, tetapi bertukar serba-salah kerana masih mendapat permintaan daripada peminat.
“Sebenarnya mata sebelah kiri saya sudah tak nampak akibat pendarahan pada saraf hingga sukar untuk memandu. Bila pergi ‘show’ jauh, saya kenalah upah orang untuk bawa kereta.
“Sebulan sekali kena ambil suntikan di hospital, tapi saya tak tahan kerana suntikan itu akan ‘tangkap’ ke kepala. Namun, saya tetap rasa bersyukur kerana dapat bantuan kerajaan.
“Suntikan bukan untuk sembuh tapi untuk bertahan sahaja. Sudah lebih setahun buat suntikan tapi tak juga sembuh. Kaki pula memang dah lama sakit pun,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia berkongsi kisah dirinya bukan untuk mengundang simpati peminat, tetapi sekadar mahu menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.
“Memang inilah masalah saya. Nak ke mana-mana bawa kereta takut terlanggar orang. Bawa pun tak boleh laju kalau pergi ‘show’ jauh-jauh.
“Nak upah orang, berapa sahaja dapat bila pergi show. Bila dah bayar dia, berapa sahaja yang tinggal (baki) pun. Selain itu, saya pun ada keturunan darah rendah.
“Ada masa-masa tertentu, tubuh badan saya jadi berpeluh-peluh. Tapi yang seriusnya kaki sebab doktor kata ada asid urik,” katanya.
Abu turut melakukan pemeriksaan kesihatan penuh menerusi ujian darah pada bulan lalu dan doktor mengesahkan dia juga berdepan masalah buah pinggang pula.
“Itu yang buat saya susah hati. Saya pun sebenarnya nak cari makan juga, tapi kadang-kadang tak terdaya nak ke sana sini.
“Bayaran show tak banyak dan terpaksa bayar upah orang lagi. Jadi, ada tak ada pun, jalan jugalah. Saya pun ada berbincang dengan banyak pihak.
“Mereka suruh saya main sambil duduk dan macam-macam lagilah.
Saya segan sebenarnya. Macam tak kena, nanti kena kecam dengan peminat. Nanti orang kata, dah tua bawalah berehat,” katanya.
Abu yang tinggal bersama isterinya, Rozita Mat Nee, 55, yang dikahwini pada 2019, turut mengusahakan bisnes kecil-kecilan menjual barangan terpakai di Pasar Loken, Memory Lane, Ipoh, Perak.
Isterinya menjual kuih di Batu Gajah, Perak dan turut mengambil tempahan untuk perkhidmatan katering.
Abu yang berkahwin kali ketiga, mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





