KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim mendedikasikan kemenangan sulung The Red Giants dalam saingan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin, sumber inspirasi yang sentiasa meniup semangat buat gergasi Liga Malaysia (Liga-M) itu biarpun ketika pasukan berdepan saat sukar.
Tonggak kelahiran Kampung Mengkuang Titi, Kubang Semang, Pulau Pinang itu menyifatkan sokongan padu Tengku Amir Shah yang juga pengerusi Selangpor FC, sebagai kunci kekuatan pemain terutama ketika Selangor melalui fasa sukar sebelum ini.
“Tuanku sentiasa memberi semangat dan kami berjuang untuk Tuanku. Walaupun dalam keadaan kalah, Tuanku tetap hadir dengan kata-kata positif untuk kami bangkit.
“Ini juga hadiah istimewa buat Tuanku yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
“Kami beruntung kerana memiliki bos yang sentiasa mengambil berat mengenai pasukan,” kata Faisal pada Khamis.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Faisal muncul wira dengan dua jaringannya untuk membantu Selangor menundukkan wakil Singapura, Tampines Rovers 4-2.
Kejayaan itu bukan sahaja menyalakan kembali rentak kemenangan Red Giants, malah melonjakkan mereka ke tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata diikuti Pathum United, Tampines Rovers, Cong An Ha Noi, Buriram United dan Dynamic Herb Cebu.
Faisal juga turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong setia Selangor yang tidak pernah berhenti memberi sokongan meskipun pasukan sebelum ini gagal mencapai keputusan positif.
“Kemenangan ini lahir daripada tekad seluruh pasukan untuk bangkit selepas keputusan hambar sebelum ini.
“Saya sudah tidak sanggup lagi menerima kekalahan demi kekalahan. Malam ini saya tekankan kepada rakan sepasukan supaya bertarung habis-habisan dan rebut tiga mata. Semua pemain berjuang habis kudrat walaupun keletihan,” ujarnya.
KEJUARAAN KELAB ASEAN 2025/26
Kumpulan A
Keputusan
Selangor 4-2 Tampines Rovers
Pathum United 2-2 Buriram United
Cong An Ha Noi 1-0 Cebu
Ringkasan AI
- KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim, mendedikasikan kemenangan kepada Raja Muda Selangor sebagai sumber inspirasi
- Sokongan padu Tengku Amir Shah dinyatakan sebagai kunci kekuatan pemain Selangor FC
- Faisal Halim menjadi wira dengan dua jaringannya menyumbang kepada kemenangan Selangor 4-2 atas Tampines Rovers
- Kemenangan itu meningkatkan kedudukan Selangor ke tangga teratas Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN
- Faisal menzahirkan penghargaan kepada penyokong setia Selangor atas sokongan tidak berbelah bagi