Menghafaz Al-Quran 30 juzuk bukanlah tugas mudah, tetapi remaja berusia 15 tahun, Asiah Al-Afifah, membuktikan ia boleh dicapai dalam tempoh 1 tahun 4 bulan melalui disiplin, kesungguhan dan bimbingan tepat.
Anak sulung pendakwah, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali sebagai UstazLah, kejayaan Asiah pada 10 malam terakhir Ramadan ini dianggap sebagai hadiah istimewa buat keluarga dan semua yang menyokong perjalanannya.

Asiah mendapat bimbingan agama sejak kecil dan persekitaran rumah yang dekat dengan Al-Quran membantu membina minat mendalam terhadap hafazan.
Disiplin harian dan dorongan keluarga menjadi tunjang utama kejayaan remaja itu.
Beliau menimba ilmu di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) cawangan KLIA dan disifatkan sebagai pelajar berdedikasi.
Walaupun menghadapi cabaran menamatkan hafazan 30 juzuk, Asiah sentiasa mengingat pesanan ayahnya bahawa setiap misi besar perlu dijalankan dengan usaha, mujahadah dan kesabaran.
Gurunya, Murabbiah Adlyn, memuji sikap rendah diri Asiah dan adabnya dengan guru. Setiap hari, Asiah tidak lupa memohon restu gurunya kerana percaya keberkatan ilmu bermula dari hubungan baik antara murid dan guru.
Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Ustaz Saifullah Hussin berkata, sikap positif, rendah diri dan meraikan kejayaan orang lain menjadikan Asiah bukan sahaja cemerlang dalam hafazan Al-Quran, tetapi juga memiliki akhlak terpuji.

Dalam majlis meraikan kejayaan anaknya, UstazLah menitiskan air mata syukur.
Tegas beliau, Al-Quran adalah pembimbing terbaik dalam kehidupan dan mendorong semua pelajar untuk terus berusaha mencapai cita-cita menjadi hafiz Al-Quran.
Artikel lain: Budak perempuan gagal tahan sebak, berjaya hafaz al-Quran dalam tempoh 9 bulan 6 hari
Selain Asiah, dua lagi anak perempuannya, Fatimah As Shifa’, 13 tahun dan Nur Aufa, 15 tahun, turut giat menghafaz Al-Quran di AKMAL.
AKMAL membuka peluang orang ramai menyumbang melalui tabung Perbadanan Wakaf Selangor bagi menyokong pembangunan Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran Amalillah di Jalan Kebun, Klang, yang menempatkan bangunan baharu, asrama pelajar dan kemudahan pembelajaran selesa.

Orang ramai yang berminat mendaftarkan anak-anak ke program hafazan Al-Quran boleh melayari www.hafizsetahun.com atau pengajian AKMAL Tahfiz Online di www.tahfizonline.com.







