PETINJU Komando Paskau, Sheikh Rahmatullah Ibrahim menzahirkan rasa syukur selepas menewaskan wakil Komando GGK, Jemis Wong Lee untuk merangkul Tali Pinggang Pro Kuda Merah Muay Thai pada aksi RF3 Super Champion di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumnpur pada Selasa malam.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas enam bulan beliau tidak pulang ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah kerana berkursus, sekali gus menjadikan kemenangan tersebut hadiah bermakna buat keluarga.
“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini. Walaupun persiapan singkat, ALLAH makbulkan impian saya.
“Kemenangan ini saya tujukan khas buat keluarga di Sungai Petani yang sudah lama tidak saya temui,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Sheikh, 24, yang mewakili Team Eagle Fighter Air Force Paskau, mengakui kejayaannya lebih bermakna kerana hadir menentang seteru lama, Jemis yang pernah ditumbangkannya pada Piala ATM 2023 di Kem Sungai Udang, Melaka.
Katanya, walaupun terpaksa membahagikan fokus dengan latihan berkawat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, beliau tetap bertekad menebus segala kepayahan dengan disiplin tinggi.
“Hanya ada seminggu untuk latihan intensif tapi berkat doa keluarga dan rakan sepasukan, saya berjaya buktikan kemampuan,” ujarnya.
Bagi Sheikh, kejayaan ini juga membuktikan skuad udara bukan sahaja cemerlang dalam medan ketenteraan, malah mampu mengharumkan nama pasukan dalam arena sukan tempur.
“Saya harap kemenangan ini jadi inspirasi kepada atlet tentera udara lain untuk berani tampil lebih cemerlang,” katanya.
Pernah beraksi mewakili negara di pentas antarabangsa termasuk Sukan SEA Vietnam 2022, Sheikh kini memberi tumpuan kepada karier profesional.
Beliau dijadual beraksi di Sarawak dalam Kejohanan Twin Championship 103 selain tidak menolak peluang kembali menyarung jersi negara pada masa depan.
“Jika ada rezeki, saya sedia berkhidmat semula di pentas antarabangsa, sama ada di peringkat senior atau kejohanan lain,” katanya yang menjadikan legenda Ukraine, Vasiliy Lomachenko sebagai idolanya.