Sebelum ini pernah penulis sebutkan bahawa realiti di Malaysia kini terdapat dua aliran yang berbeza pendekatan mengenai isu hadis daif. Satu aliran berpegang dengan pandangan jumhur ulama yang menyatakan hadis daif selama mana tidak palsu boleh digunakan dalam bab fadha’il dan aspek yang tidak bersangkut dengan akidah dan hukum syarak. Manakala satu aliran lagi berpegang dengan pandangan minoriti yang menyatakan hadis daif tidak boleh digunakan secara total dalam apa jua perkara, malah ada yang ekstrem sehingga membakul-sampahkannya sama seperti hadis palsu.
Namun, terdapat sebuah akhbar melaporkan bahawa seorang penceramah terkenal mengatakan, terdapat tiga hadis yang boleh diamalkan oleh golongan muslim iaitu hadis sahih, hadis hasan dan hadis daif manakala yang tidak boleh adalah hadis keempat iaitu hadis palsu. Laporan ini mungkin agak mengelirukan kerana menunjukkan seolah-olah penceramah tersebut mengatakan hadis daif boleh diamalkan secara total, termasuk dalam bab akidah dan hukum syarak.
Penulis percaya di Malaysia tidak ada aliran ketiga yang berpendapat hadis daif boleh digunakan secara total sebegitu. Maka, kemungkinan besar ada kelompongan dalam berita berkenaan kerana ia diambil daripada penyampaian secara singkat yang sebelumnya mungkin telah dijelaskan secara terperinci oleh beliau berulang kali. Hal sebegini sebenarnya biasa berlaku dalam penyampaian atau ceramah para ilmuwan dan agamawan. Justeru, orang yang pertama kali mendengarnya mungkin memahaminya secara separuh masak jika tidak mengaitkannya dengan penerangan sebelumnya. Buktinya, sebelum ini beliau pernah menjelaskan mengenai hukum beramal dengan hadis daif berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam kitab al-Azkar (hlm. 8): “Kata para ulama daripada kalangan muhaddithin, fuqaha’ dan lain-lain: Harus dan mustahab beramal dalam fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib (galakan dan ancaman) dengan hadis dhaif, selama mana ia tidak palsu.”
Jelasnya, maksud ‘hadis daif boleh diamalkan’ itu adalah dalam skop fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib, bukannya mutlak sehingga termasuk bab akidah dan hukum syarak.
Dalam beramal dengan hadis daif ini juga, ulama hadis muta’akhkhirin telah meletakkan tiga syarat. Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 902H) dalam kitab al-Qawl al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami (al-Hafiz Ibnu Hajar) berulang kali memberitahu serta menuliskannya kepadaku dengan tangannya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith daif itu ada tiga. Pertama, syarat yang disepakati oleh ulama, iaitu kedaifannya tidak berat. Maka, terkeluarlah hadis perawi yang bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis) daripada kalangan para pendusta, perawi yang dituduh berdusta dan juga perawi yang teruk kesilapannya. Kedua, ia termasuk di bawah suatu dasar umum (sama ada al-Quran, hadis, ijmak dan sebagainya). Maka, terkeluarlah hadis yang direka-reka, di mana ia sama sekali tidak mempunyai dasar pada asalnya. Ketiga, tidak mengiktikadkan ia sabit (daripada Nabi SAW) ketika beramal dengannya agar tidak menyandarkan kepada Nabi SAW apa yang tidak baginda katakan.”
Namun begitu, ketiga-tiga syarat ini sering disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak yang kurang mendalami metode ulama hadis muta’akhkhirin. Syarat pertama sering difahami bahawa ia termasuk semua hadis yang sangat daif, meskipun hadis tersebut mempunyai mutaba’at (riwayat sokongan), syawahid (hadis sokongan) atau qara’in (bukti sokongan). Sedangkan, hadis sangat daif yang mempunyai mutaba’at, syawahid atau qara’in sebenarnya masih terbuka kepada pertimbangan dan perbezaan pendapat.
Syarat kedua sering difahami bahawa hadis daif tersebut mesti merujuk kepada hadis yang sahih juga. Sedangkan, al-Hafiz Ibnu Hajar hanya menyebut ‘suatu usul umum’ yang bukan sekadar merujuk kepada hadis sahih semata-mata, bahkan merujuk juga kepada ayat al-Quran, ijmak, qiyas dan sebagainya. Syarat ini sebenarnya menggabungkan antara manhaj muhaddithin dan manhaj fuqaha’. Ini kerana manhaj muhaddithin biasanya memberi fokus kepada mutaba’at dan syawahid yang dapat menyokong sesuatu hadis. Sedangkan, manhaj fuqaha’ pula mengambil kira qara’in yang boleh menyokong hadis berkenaan. Selain ayat al-Quran, ijmak dan qiyas, qara’in juga termasuk ‘amal mutawarath (amalan yang diwarisi daripada Salaf), amalan ahli Madinah, qaul as-sahabi (kata-kata sahabat RA), ma talaqqathu al- ummah bil-qabul (perkara yang sudah diterima umat Islam tanpa bantahan) dan lain-lain.
Syarat ketiga pula sering difahami bahawa hadis daif tersebut tidak boleh langsung dinisbahkan kepada Nabi SAW. Sedangkan, maksud sebenarnya ialah tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW secara jazam (pasti), namun boleh dinisbahkan kepada baginda SAW secara tamridh (tidak pasti), seperti diriwayatkan daripada Nabi SAW atau seumpamanya.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd