July 13, 2024

Hadis daif boleh diamalkan secara mutlak?

Hadis daif boleh diamalkan secara mutlak?


 

Sebelum ini  pernah penulis sebutkan  bahawa  realiti di Malaysia kini terdapat dua aliran yang berbeza pendekatan mengenai isu hadis daif. Satu aliran berpegang dengan pandangan jumhur ulama yang menyatakan hadis daif selama mana tidak palsu boleh digunakan dalam bab  fadha’il dan aspek yang tidak bersangkut dengan akidah dan hukum syarak. Manakala satu aliran lagi berpegang dengan pandangan minoriti yang menyatakan hadis daif tidak boleh digunakan secara total dalam apa jua  perkara, malah ada yang  ekstrem sehingga  membakul-sampahkannya  sama  seperti hadis palsu. 

 Namun,  terdapat  sebuah akhbar melaporkan bahawa seorang penceramah terkenal mengatakan,  terdapat tiga hadis yang boleh diamalkan oleh golongan muslim iaitu hadis sahih, hadis hasan dan hadis daif  manakala  yang tidak boleh adalah hadis keempat iaitu hadis palsu.  Laporan ini  mungkin  agak mengelirukan kerana menunjukkan seolah-olah penceramah tersebut  mengatakan hadis daif boleh diamalkan secara total, termasuk dalam  bab  akidah dan hukum syarak.

 Penulis percaya di Malaysia  tidak ada  aliran  ketiga  yang  berpendapat  hadis daif boleh digunakan secara total  sebegitu.  Maka, kemungkinan besar  ada kelompongan dalam  berita berkenaan kerana ia diambil daripada penyampaian secara singkat yang sebelumnya mungkin telah dijelaskan secara terperinci  oleh beliau  berulang kali. Hal  sebegini sebenarnya biasa berlaku dalam  penyampaian atau ceramah para  ilmuwan dan agamawan.  Justeru,  orang yang pertama kali mendengarnya  mungkin  memahaminya secara separuh masak  jika tidak mengaitkannya dengan penerangan sebelumnya.  Buktinya, sebelum ini beliau pernah menjelaskan  mengenai  hukum beramal dengan hadis daif berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi  (wafat 676H) dalam kitab  al-Azkar  (hlm. 8):  “Kata para ulama daripada  kalangan muhaddithin, fuqaha’ dan lain-lain: Harus dan mustahab beramal dalam  fadha’il dan  al-targhib wa al-tarhib  (galakan dan ancaman)  dengan hadis dhaif,  selama mana ia tidak palsu.”  

 Jelasnya, maksud  ‘hadis  daif  boleh diamalkan’ ‎ itu adalah dalam skop  fadha’il dan  al-targhib wa al-tarhib, bukannya mutlak sehingga termasuk bab  akidah dan hukum syarak.

 Dalam  beramal dengan hadis daif ini  juga,  ulama hadis muta’akhkhirin telah meletakkan tiga syarat.  Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi (wafat  902H) dalam kitab  al-Qawl al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami (al-Hafiz Ibnu Hajar) berulang kali memberitahu serta menuliskannya kepadaku dengan tangannya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith daif itu ada tiga.  Pertama, syarat yang disepakati oleh ulama,  iaitu  kedaifannya tidak berat. Maka, terkeluarlah hadis perawi yang bersendirian  (meriwayatkan sesuatu hadis)  daripada kalangan para  pendusta,  perawi  yang dituduh berdusta dan juga perawi yang teruk kesilapannya.  Kedua, ia termasuk di bawah  suatu  dasar  umum  (sama ada  al-Quran,  hadis, ijmak dan sebagainya). Maka, terkeluarlah  hadis  yang direka-reka, di mana ia sama sekali tidak mempunyai  dasar  pada asalnya.  Ketiga, tidak mengiktikadkan  ia sabit  (daripada Nabi SAW)  ketika beramal dengannya  agar  tidak menyandarkan kepada Nabi SAW apa yang tidak baginda katakan.”  

 Namun begitu, ketiga-tiga syarat ini sering disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak yang kurang mendalami metode ulama hadis  muta’akhkhirin.  Syarat pertama  sering difahami bahawa ia  termasuk semua hadis yang sangat daif, meskipun hadis tersebut mempunyai  mutaba’at  (riwayat sokongan),  syawahid  (hadis sokongan)  atau  qara’in  (bukti sokongan).  Sedangkan, hadis sangat daif  yang mempunyai  mutaba’at,  syawahid  atau  qara’in  sebenarnya masih terbuka kepada pertimbangan dan perbezaan pendapat. 

 Syarat kedua  sering difahami bahawa hadis daif tersebut mesti merujuk kepada  hadis yang sahih  juga.  Sedangkan, al-Hafiz Ibnu  Hajar  hanya menyebut  ‘suatu usul  umum’ yang  bukan sekadar  merujuk kepada  hadis  sahih semata-mata, bahkan merujuk  juga  kepada  ayat al-Quran, ijmak, qiyas  dan sebagainya. Syarat ini sebenarnya menggabungkan antara manhaj muhaddithin dan manhaj fuqaha’.  Ini kerana manhaj muhaddithin biasanya  memberi fokus  kepada  mutaba’at  dan  syawahid  yang  dapat  menyokong sesuatu hadis. Sedangkan, manhaj fuqaha’  pula  mengambil kira  qara’in  yang  boleh  menyokong hadis  berkenaan. Selain  ayat al-Quran, ijmak  dan qiyas,  qara’in  juga termasuk  ‘amal mutawarath (amalan yang diwarisi daripada Salaf),  amalan  ahli Madinah,  qaul as-sahabi (kata-kata sahabat RA),  ma talaqqathu al- ummah bil-qabul (perkara yang sudah diterima umat Islam  tanpa bantahan)  dan lain-lain. 

 Syarat ketiga  pula  sering difahami bahawa hadis daif tersebut  tidak boleh  langsung  dinisbahkan  kepada  Nabi SAW.  Sedangkan, maksud  sebenarnya ialah  tidak boleh  dinisbahkan kepada  Nabi SAW  secara jazam  (pasti),  namun boleh  dinisbahkan  kepada baginda  SAW secara  tamridh  (tidak pasti), seperti  diriwayatkan daripada Nabi SAW atau  seumpamanya.  

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top