lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahu ibu bapa tercinta beroleh ganjaran syurga hasil keberkatan al-Quran menjadi dorongan utama kepada seorang remaja lelaki ini untuk meninggalkan sekolah swasta dan memilih laluan pendidikan tahfiz.
Kesungguhan Haryz Irfan Wan Azrizul Azad, 18, membuahkan hasil apabila pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali itu berjaya memperdengarkan hafazan 30 juzuk al-Quran selama hampir 18 jam tanpa kesalahan pada 18 Disember lalu sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi penghafal al-Quran, Syahadah Ula.
Anak jati Shah Alam, Selangor itu berkata, keputusan memasuki maahad dibuat ketika berada di tingkatan dua selepas setahun mengikuti persekolahan di sebuah sekolah swasta beraliran agama.
“Sebelum masuk maahad, saya sekolah swasta agama di Shah Alam.
“Dari sekolah rendah lagi memang ada asas agama dan hafal al-Quran sedikit demi sedikit.
“Bila fikir tentang tahfiz, niat utama saya ialah nak jadikan al-Quran sebagai asbab mak dan ayah masuk syurga. Itulah yang kuatkan semangat saya,” katanya.
Haryz adalah anak ketiga daripada lapan beradik dan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan pendidikan al-Quran.
Kakak sulung dan seorang adiknya juga penghafal al-Quran di maahad berbeza.
Menurutnya, cabaran terbesar dalam menghafal al-Quran ialah mengekalkan disiplin dan konsistensi kerana hafazan akan mudah hilang sekiranya tidak diulang setiap hari.
“Sepanjang lima tahun di maahad, memang tidak ada satu hari pun berlalu tanpa hafazan. Kalau tinggal sehari, esoknya jadi susah nak ulang balik,” katanya.
Mengulas rutin harian, Haryz berkata, jadual hariannya padat dengan hafazan sejak pagi hingga petang.
“Kelas tasmik hafazan bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang. Bagi pelajar tingkatan atas, hafazan hingga jam 1 tengah hari sebelum kelas akademik. Setiap ayat perlu diulang sekurang-kurangnya 60 kali.
“Petang ada aktiviti asrama dan malam pula sesi ulang kaji. Ustaz akan dengar bacaan pada siang hari dan warden akan semak serta tandatangan buku rekod pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, sebelum menduduki Syahadah Ula, beliau perlu melalui enam tahap ujian secara berperingkat termasuk bacaan tiga juzuk sehari, meningkat kepada lima juzuk dan seterusnya ujian menghabiskan al-Quran dalam tempoh singkat.
“Syahadah Ula ialah ujian tahap ketujuh. Saya mula membaca jam 4.30 pagi dan selesai sekitar jam 10.20 malam.
“Perasaan ketika itu memang sukar digambarkan, penat ada, tapi lebih kepada rasa tak percaya dan syukur,” katanya.
Sementara itu, melalui perkongsian di TikTok, Maahad Tahfiz Al-Fateh memaklumkan bahawa Haryz berjaya memperoleh keputusan penuh Jayyid Jiddan dengan markah keseluruhan 93.28 peratus.
Difahamkan, dia adalah pelajar ke-12 yang pernah melepasi ujian tertinggi itu di maahad berkenaan.
Kini Haryz masih meneruskan pengajian di maahad sama sambil memberi tumpuan kepada akademik dan persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selepas SPM nanti, saya mungkin sambung pengajian Islam atau bidang lain. Apapun saya bersyukur keluarga sentiasa menyokong perjalanan ilmu saya pilih.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada remaja lain untuk mendekatkan diri dengan al-Quran dan tidak mudah berputus asa dalam menempuh laluan sebagai hafiz,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





