Kuala Lumpur: Penyanyi Hafiz Suip akhirnya membuka mulut dan mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, dia bersedia untuk melepaskan isterinya itu jika mereka sudah tiada persefahaman.
“Saya cuma nak selesaikan dengan cara yang baik tanpa ada gangguan daripada pihak-pihak yang lain. Cukup saya simpan sendiri perkara ini.
“Kalau dah memang kami sudah tiada persefahaman, saya akan lepaskan dengan cara baik.
“Saya tak mahu rumitkan keadaan, biarlah semuanya selesai cara baik, jangan anak-anak pula jadi mangsa keadaan,” kata Hafiz ketika ditemubual dalam program Melodi TV3 malam tadi.
Menurut Hafiz, buat masa ini dia sedang dalam proses perbincangan dengan isterinya mengenai hak penjagaan anak sebelum mereka membuat haluan masing-masing.
“Kami masih suami dan isteri cuma tidak sebumbung disebabkan dalam proses cerai.
“Kami sedang berunding hak penjagaan anak-anak,” katanya.
Dalam masa sama, Hafiz memaklumkan dia sebolehnya mahu menyelesaikan masalah rumah tangganya itu dengan baik tanpa ada campur tangan orang luar.
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd