najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Jika apa-apa berlaku kepada mereka, saya sanggup lakukan apa sahaja.”
Demikian luahan penyanyi Hafiz Suip mengenai kasih dan cinta terhadap dua anaknya, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5, apabila sedang proses perceraian dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, walaupun kedua anaknya masih kecil dia sudah memaklumkan mengenai perpisahan itu.
“Saya tidak mahu menggunakan ayat klise. Sudah tentu dalam hal ini anak- anak akan terseksa. Saya sudah pun berterus terang dengan mereka kerana lambat-laun mereka pasti akan tahu.
“Jika saya menipu, mereka juga akan dapat tahu nanti. Harapan saya sekarang, saya hanya boleh berdoa agar anak-anak saya faham dan diberikan kekuatan untuk menghadapi kehidupan ini.
“Apa yang boleh saya katakan, doakan yang baik-baik dan saya nak anak-anak tahu yang saya masih lagi bapa mereka dan saya sangat menyayangi mereka,” katanya.
Menurut Hafiz, biarpun sudah berdepan ujian berat pada tahun ini, namun dia menerima segala ketentuan dengan berlapang dada.
“Ya, inilah ujian yang saya kena terima dengan hati terbuka. Saya tahu, ia agak berat, tetapi, saya belajar untuk bersyukur dengan segala yang terjadi.
“Saya anggap setiap ujian itu Allah nak menguji kita lagi. Sekarang ini saya hanya mengharapkan doa daripada orang yang menyokong dan sayangkan saya.
“Sebagai contoh ahli keluarga serta peminat-peminat. Saya yakin ramai yang sayangkan dan mengambil berat fasal saya.
“Bagi saya orang tidak akan tanya, kalau mereka tak ambil berat. Jadi saya selalu berfikiran positif dan bersama dengan orang-orang yang positif,” katanya.
Awal Januari lalu, Hafiz akhirnya membuka mulut dan mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan Nureffy.
Hafiz berkata, dia bersedia untuk melepaskan isterinya itu jika mereka sudah tiada persefahaman.
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.
© New Straits Times Press (M) Bhd