Hafizh Syahrin mengungguli Perlumbaan 2 Kategori ASB1000 ARRC Pusingan Ketiga di Litar Twin Ring Motegi, Jepun. Foto: JDT Racing Team
PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan kehebatannya apabila berjaya merangkul kejuaraan sulung musim ini dalam Perlumbaan 2 kategori ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Pusingan Ketiga di Litar Twin Ring Motegi, Jepun.
Wakil pasukan JDT Racing Team itu menebus kekecewaan sehari sebelumnya selepas tidak menamatkan Perlumbaan 1, dengan aksi bertenaga sepanjang 11 pusingan yang menyaksikannya menamatkan saingan dengan catatan masa 24 minit 09.165 saat, mengungguli perlumbaan penuh dramatik berkenaan.
Bekas pelumba MotoGP negara berkenaan memulakan saingan dari petak utama dan dilihat tidak mahu mengulangi nasib malang sebelum itu apabila pantas mendahului kelompok hadapan pada awal perlumbaan.
Namun, percubaannya untuk terus meninggalkan pencabar lain digagalkan apabila disusuli rapat pelumba tuan rumah, Keito Abe dari pasukan SDG HARC-PRO Honda Philippines.
Abe yang turut menjuarai Perlumbaan 1 berjaya memintas Hafizh pada pusingan keempat, namun Hafizh yang terkenal dengan gaya tunggangan agresif tidak mudah mengalah.

Hafizh Syahrin bersama pasukan JDT Racing Team meraikan kejayaan mengungguli Perlumbaan 2 Kategori ASB1000 ARRC Pusingan Ketiga di Jepun.
Pelumba berpengalaman itu terus mengekori rapat pencabarnya sebelum melakukan gerakan kemas pada pusingan terakhir, sekali gus menamatkan perlumbaan dengan kelebihan tipis 0.213 saat.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Jepun, Sho Nishimura daripada pasukan Japan Post Honda Racing yang menamatkan perlumbaan dengan masa 24:12.210 saat.
Pusingan seterusnya ARRC akan berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia dari 29 hingga 31 Ogos depan.