May 24, 2024

Hajar ingin bawa masyarakat cakna dengan isu semasa yang beri kesan kepada generasi akan datang

Kuala Lumpur: Berbeza dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai, malah turut berpeluang mengetuai, beberapa program yang dianjurkan di sekolah dan universiti. “Memang ramai yang menganggap saya seorang yang pendiam dan ‘introvert’. Namun saya sebenarnya lebih gemar bersuara apabila perlu, terutamanya apabila menyuarakan pendapat yang mampu memberikan impak kepada pemegang taruh di sekeliling, baik warga kampus mahu pun orang awam,” kata anak kelahiran Putrajaya ini memulakan perbualan.

Siti Hajar Badzlin Ghazali, mahasiswa tahun akhir jurusan sains bioperubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini bukan sahaja aktif di kampus, malah turut mengambil peluang untuk memberi khidmat kepada masyarakat setempat dengan menjadi Ahli Parlimen Belia mewakili kawasan Putrajaya. “Pada mulanya tidak pernah pun terlintas di fikiran saya untuk menawarkan diri untuk menjadi ahli parlimen belia, namun setelah melihat potensi untuk menyumbang kepada komuniti menerusi platform ini, saya tidak menoleh ke belakang lagi.”

“Tambahan pula, platform yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini melatih anak-anak muda untuk berani mengetengahkan idea dan solusi kepada isu-isu setempat dan nasional. Ia juga secara tidak langsung menjadi pemudah cara untuk golongan muda sama-sama menyertai komuniti setempat yang latar demografinya, pemikirannya, dan tradisinya cukup berbeza jika dibandingkan dengan warga kampus,” katanya.

Berpegang teguh dengan ungkapan ‘negara adalah cerminan rakyatnya’, Hajar mendedikasikan usaha dan tenaganya di dalam Parlimen Belia untuk mengintegrasi dan mensinergikan usaha-usaha strategik yang diilhamkan di institusi pendidikan untuk direalisasikan di peringkat komuniti. “Boleh saya katakan tiada platform lain yang benar-benar mampu memberikan peluang kepada anak muda untuk memberikan impak kepada masyarakat secara langsung sebegini,” terangnya lagi yang mesra dipanggil Hajar ini.

Berbekalkan pengalamannya mendekati komuniti setempat, dan komitmen dalam membawa isu-isu semasa, Hajar turut menawarkan diri menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan GEG di Universiti Malaya (UM). “Sebagaimana yang kita tahu, Generational End Game (GEG) ialah sebuah gerakan yang cuba menyelamatkan generasi akan datang daripada bahaya rokok dan vape dengan melobi supaya sebuah undang-undang diadakan bagi menghalang penjualan produk-produk ini kepada mereka yang lahir selepas 2007. Walaupun undang-undang tersebut sudah pun dibentang dan diluluskan tanpa klausa khusus ini, namun kami tetap meneruskan aktiviti kami berkongsi bahaya ketagihan rokok dan vape kepada murid-murid sekolah di seluruh Lembah Klang.”

“Program sukarelawan GEG kami ini dilaksanakan di bawah Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares), dan diketuai oleh Profesor Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin, yang juga merupakan Timbalan Koordinator NARCC UM. Beliau sangat lantang menyuarakan keresahannya terhadap bahayanya produk-produk ini, dan saya sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada gerakan yang menyumbang secara langsung kepada kesedaran masyarakat mengenai sebuah isu semasa yang sangat mustahak,” terang penggemar nasi kerabu ini.

Selain mendepani isu-isu semasa, Hajar juga cenderung untuk membina keterampilan dirinya sebagai seorang mahasiswa dan juga bakal graduan yang bakal menjadi sebahagian daripada masyarakat kelak. “Saya percaya, kemahiran kepimpinan merupakan salah satu asset yang perlu ada di dalam diri setiap mahasiswa. Kemahiran ini bukan hanya khusus untuk mereka yang beraspirasi untuk memegang jawatan, kerana kepentingannya turut merangkumi proses pembangunan diri dan apa jua organisasi di mana kita berada. Kerana pemahaman inilah saya menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai sebahagian daripada pasukan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Ibnu Sina UM untuk sesi 2023/2024. Saya dilantik sebagai Setiausaha JTK, dan bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan semua aktiviti yang dirancang di kolej kediaman,” kata anak kedua dari tiga beradik ini.

Kolej Kediaman Ibnu Sina UM merupakan asrama penginapan mahasiswa jurusan klinikal, yang meliputi kursus perubatan, pergigian, farmasi, sains bioperubatan, dan kejururawatan.

“Oleh kerana demografi mahasiswa di sini terdiri daripada mereka yang sibuk dengan urusan pembelajaran klinikal masing-masing, jadi kami sebagai ahli JTK perlu memastikan aktiviti dan program yang dirancang memenuhi aspirasi dan keperluan pembangunan insaniah mereka,” kata Hajar lagi.

Baru-baru ini Hajar dan 17 orang rakannya daripada ahli JTK telah berkampung selama tiga hari dua malam di Cherating, Pahang untuk sebuah program bina semangat berpasukan. “Paling menarik ialah apabila kami semua diminta mencari lokan di celah-celah lumpur hutan paya bakau di muara Sungai Cherating. Mungkin kedengaran agak janggal, namun di sebalik aktiviti yang menyebabkan kami bermain lumpur sehingga ke paras lutut itu telah mengajar kami erti bantu-membantu dan kepentingan memahami objektif dalam melaksanakan sesuatu tugas,” katanya yang fasih berbahasa Mandarin ini.

Ketika ditanya mengenai kenangan manis menyambut Hari Raya Aidilfitri, alumni SMK Putrajaya Presint 9(2) dan Seremban Science Girls School (SGS) ini hanya tersenyum dan menggeleng. “Bukannya tiada langsung kenangan manis semasa Hari Raya. Cumanya saya seorang yang sangat menghargai setiap saat dan ketika yang dikecapi bersama mereka yang tersayang. Jadi pada saya kenangan manis itu adalah saat-saat yang mungkin pada kebanyakan orang lain adalah yang biasa-biasa, seperti mengemas rumah sehari sebelum hari raya, bersalam dengan ibu bapa di pagi raya, dan menjamah hidangan sekeluarga sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri beramai-ramai. Pada saya itu semua adalah kenangan manis yang tak mungkin akan terulang, dan kita akan kerugian jika tidak mahir untuk menghargai setiap momen sebegini,” pesan Hajar mengakhiri perbualan.

Press Release Desk
The Malay Tribune

OR

Scroll to Top