IBADAH haji dilihat sebagai menyatukan manusia dalam bentuk kehambaan yang mutlak, tiada lagi beza darjat, harta, keturunan atau kedudukan. Foto Tabung Haji
PELAKSANAAN ibadah haji termasuk wukuf di Arafah dan bermalam di Muzdalifah bukanlah satu aturan yang boleh dirumuskan dengan akal fikiran manusia biasa.
Timbalan Mufti Perlis merangkap Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji, Tajul Urus Abdul Halim berkata, namun hikmah di sebalik ibadah itu dilihat sebagai menyatukan manusia dalam bentuk kehambaan yang mutlak, tiada lagi beza darjat, harta, keturunan atau kedudukan.
“Inilah ibadah yang tidak boleh difikir dengan akal. Mengapa mesti wukuf di Arafah pada waktu tertentu? Mengapa perlu mabit di Muzdalifah hanya selepas tengah malam? Dan mengapa melontar di Jamrah dilakukan secara berturutan di hari-hari tertentu?
“Ini semua ketetapan daripada ALLAH SWT yang menguji sejauh mana kepatuhan hamba-Nya.

USTAZ TAJUL URUS
“Lihat sahaja suasana di Arafah. Semua jemaah berpakaian ihram. Walaupun dia mungkin dalam kalangan orang yang kaya-raya, berjawatan tinggi, berpangkat besar, orang yang sederhana, rendah dan sebagainya semua mereka adalah sama di sisi ALLAH SWT.
“Saya rasa itu antara perkara yang besar yang boleh kita ambil pengajaran daripada maksud perhimpunan besar pada hari Arafah itu untuk menunjukkan bahawasanya manusia ini adalah sama sahaja di sisi ALLAH SWT kecuali orang yang bertakwa,” katanya.
Dalam pada itu, Tajul Urus mengingatkan bahawa hari Arafah adalah detik yang paling agung dalam keseluruhan ibadah haji.
“Inilah hari yang ditunggu-tunggu. Hari di mana ALLAH akan mendengar setiap doa yang diangkat oleh para hamba-Nya. Maka rebutlah peluang ini untuk berdoa, bermunajat dengan ikhlas, merendah diri dan mohonlah kebaikan dunia serta akhirat,” katanya.
Beliau turut menyarankan jemaah memperbanyakkan zikir dan istighfar sepanjang berada di Padang Arafah serta menghayati sepenuhnya peluang yang telah diberikan oleh ALLAH SWT.
Katanya, seseorang yang memperoleh haji yang mabrur tidak ada balasannya kecuali syurga dan dia bahkan balik seperti mana seperti seorang bayi yang baru dilahirkan.