Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 106)
Al-Utba berkata: Ibrahim bin Al-Mahdi mempunyai kes dengan Bukhtaisyuk, seorang doktor. Kes dihadapkan kepada Ahmad bin Abu Daud al-Qadi dalam majlis penghakiman mengenai satu aset di pinggir As-Sawad. Ibn Al-Mahdi mengejek-ejek Bukhtaisyuk. Beliau sengaja membuat provokasi di hadapan Ahmad bin Abu Daud.
Ahmad menyebut: “Wahai Ibrahim! Apabila engkau bertelingkah dengan seseorang dalam majlis penghakiman, engkau mesti tahu bahawa engkau jangan angkat tinggi suaramu. Engkau jangan tuding jari kepadanya.
“Biarlah matlamatmu untuk mendamaikan, jalanmu jelas, dirimu tenang. Berikan kepada majlis penghakiman akan haknya iaitu tenang, membesarkan dan fokus kepada perkara yang sepatutnya. Itulah yang selayaknya denganmu.
“Jangan gopoh. Mungkin sifat gopoh menyebabkan kebinasaan. Allah lah yang menjagamu daripada kegelinciran, silap perkataan dan perbuatan.
“Semoga Allah menyempurnakan nikmat-Nya ke atasmu sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kedua ibu bapamu sebelum ini. Sesungguhnya Tuhanmu itu Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.”
Ibrahim berkata: “Semoga Allah membaiki keadaanmu. Engkau telah menyuruh dengan benar. Engkau mendapat petunjuk. Saya tidak mahu kembali kepada perkara yang merobek maruahku di sisimu, yang menyebabkan diriku rendah di matamu, yang mengeluarkan diriku dari tanggungjawab yang sepatutnya kepada terpaksa meminta maaf.
“Nah! Aku di sini meminta maaf kepadamu terhadap isu ini dengan mengakui kesilapanku, merasa tersilap besar terhadap apa yang dibuat. Kemarahan menjadikan aku terikut dengan emosi, sedangkan engkau respons dengan lembut. Itulah ketentuan Allah terhadap kita. Cukuplah Allah sebagai tempat berserah.
“Saya telah serahkan hak saya terhadap aset ini kepada Bukhtaisyuk. Saya harap ia sebagai pampasan dosa itu. Harta tidak luput dengan sebab mendengar nasihat.” (Al-Aqd al-Farid, Ibn Abd Rabbuh 1/85-86)
Daripada kisah singkat di atas, kita dapat belajar banyak perkara:
1. Muamalat, transaksi sentiasa berlaku di antara manusia. Kadang-kadang ia menyebabkan salah-faham dan pertelingkahan sesama sendiri. Islam yang adil menyediakan penyelesaiannya. Hakim yang menjatuhkan hukuman yang mesti adil itu juga disyaratkan ada beberapa ciri tertentu.
2. Ejekan dan provokasi bukanlah cara Islam, di mana sahaja iaitu berlaku. Mahkamah adalah tempat keadilan ditegakkan. Tempat itu mesti dihormati. Prosesnya diikuti. Adab dan akhlak mesti diperhati. Ejekan dan provokasi hanyalah merendahkan martabat pihak yang busuk hati.
3. Teguran hakim supaya pihak bertelingkah jangan mengangkat suara dan menuding jari adalah nasihat yang benar. Emosi perlu dikawal. Menuding jari adalah bahasa badan yang menunjukkan empunyanya mempunyai emosi yang sukar dikawal. Ia akan mengganggu proses pendakwaan dan penghakiman.
4. Tenang, membesarkan majlis, fokus, matlamat untuk mendamaikan dan tidak gopoh adalah antara adab-adab dalam majlis penghakiman yang membantu perjalanannya lancar.
5. Kesan daripada nasihat yang baik, respons yang tenang menyebabkan mereka yang awalnya beremosi menjadi kendur dan insaf, sehingga sanggup memberikan haknya pula kepada orang lain. Lantas kes dapat diselesaikan dengan baik, penuh berkat, dapat manfaat tanpa diduga dan diredai Allah. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

Penulis ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.