Hakim Danish buat analisis tambahan hadapi cabaran Sachsenring

Hakim Danish buat analisis tambahan hadapi cabaran Sachsenring


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli kini kembali dengan semangat baharu dan pengalaman berguna selepas menempuh cabaran getir dalam Pusingan Ketiga Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Litar Magny-Cours, Perancis minggu lalu.

Mewakili pasukan SIC Racing – MSI selaku wakil tunggal negara, pelumba berusia 17 tahun dari Terengganu itu terjatuh ketika berada di kedudukan keenam dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Insiden itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat juangnya, sebaliknya dianggap sebagai pengalaman berharga dalam proses pembentukan kariernya sebagai pelumba profesional.

Fokus Hakim Danish kini tertumpu sepenuhnya kepada cabaran baharu dalam Pusingan Kelima Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Sachsenring, Jerman, sebuah litar yang digeruni ramai pelumba muda kerana tahap teknikal dan cabarannya yang tinggi menjelang perlumbaan 12 dan 13 Julai ini

Litar Sachsenring sepanjang 3.67 kilometer itu terkenal dengan jolokan The Sachsenring Rollercoaster kerana reka bentuk berbukit serta susun aturnya yang kompleks terdiri daripada 13 selekoh, termasuk 10 selekoh kiri dan hanya tiga selekoh kanan.

Keadaan ini menuntut pelumba menyesuaikan diri dengan karakteristik unik litar yang tidak seimbang dari segi arah selekoh, seterusnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental tinggi untuk mengekalkan rentak sepanjang perlumbaan.

Menurut Hakim Danish, ini adalah kali pertama beliau akan beraksi di Sachsenring, namun tidak membiarkan kekurangan pengalaman sebagai alasan untuk tidak bersedia.

Sebaliknya, pelumba muda ini telah menjalankan analisis tambahan dengan meneliti pelbagai rakaman video serta perlumbaan lalu di litar berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan strategik menjelang aksi hujung minggu ini.

“Saya baru sahaja menamatkan perlumbaan JuniorGP minggu lalu dan kini mengekalkan mentaliti positif untuk perlumbaan di Sachsenring.

“Ini kali pertama saya akan berlumba di sini, jadi saya banyak mengkaji video perlumbaan tahun-tahun lepas dan ciri-ciri teknikal litar ini sebagai sebahagian daripada persediaan,” ujar beliau.

Hakim Danish turut menjangkakan bahawa selekoh terakhir litar tersebut yang berbukit dan tajam akan menjadi penentu dalam menentukan kedudukan pelumba di garisan penamat, terutama dalam persaingan rapat kelompok depan.

Dalam kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup setakat ini, Hakim Danish mendahului kedudukan keseluruhan dengan kutipan 148 mata, mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte, yang mengumpul 116 mata, kelebihan 32 mata yang memberi sedikit ruang bernafas buat pelumba negara itu menjelang baki pusingan kejuaraan.

Hakim Danish turut berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan doa agar segala usaha dan perancangan di Sachsenring dipermudahkan dan membuahkan hasil yang positif.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yang juga bekas pelumba negara, turut berada di Sachsenring untuk memastikan segala persiapan teknikal dan taktikal berjalan lancar.

Zulfahmi memainkan peranan penting dalam menyelia aspek seting jentera, strategi perlumbaan serta pengurusan pasukan sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Selesai perlumbaan di Sachsenring, Hakim Danish dijadualkan menyambung semula komitmennya dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP Pusingan Keempat di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol pada 26 dan 27 Julai ini.



Source link

OR

Scroll to Top