Hakim Danish congak strategi ampuh di Perancis

Hakim Danish congak strategi ampuh di Perancis


Hakim Danish menyifatkan Pusingan 3 JrGP di Litar Magny-Cours, Perancis sebagai amat mencabar. Foto Fb Hakim Danish.

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli akan mencongak strategi ampuh untuk melakar keputusan positif pada Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Perancis hujung minggu ini.

Beliau berkata, Magny-Cours merupakan litar yang teknikal, sekali gus menuntut para pelumba untuk mengubah corak tunggangan bagi memburu kejayaan.

Pelumba yang mewakili pasukan SIC Racing-MSi itu mengakui sudah menjalani ujian di litar yang disifatkan mencabar dan menuntut ketepatan dalam kawalan tunggangan serta jentera terbaik.

“Litar ini agak teknikal dan saya masih perlu memperbaiki tunggangan serta mencari ketetapan jentera lebih sesuai. Harapan saya segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Litar sepanjang 4.411 kilometer itu mempunyai 17 selekoh pastinya akan menyajikan cabaran tersendiri buat para pelumba.

Selepas dua pusingan melibatkan tiga perlumbaan, Hakim Danish menghuni kedudukan keempat keseluruhan selepas mengumpul 38 mata.

Pada pusingan pembukaan di Estoril, Portugal Mei lalu, pelumba berusia 17 tahun itu menutup saingan sebagai naib juara.

Namun, dalam dua perlumbaan berikutnya di Jerez, Sepanyol, prestasi pelumba yang berasal dari Terengganu itu merudum apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan dan Perlumbaan 2 di tangga kelima.

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang juga pencabar Hakim Danish dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup menerajui carta kejuaraan apabila menjuarai ketiga-tiga perlumbaan.



Source link

OR

Scroll to Top