ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Musim baharu 2025 bakal menjadi tahun yang penuh mencabar bintang muda sukan permotoran negara, Hakim Danish Ramli terutama bagi mencapai sasaran untuk berada di kedudukan tiga terbaik Piala Red Bull Rookies.
Selepas menamatkan musim lalu di kedudukan keenam dalam perlumbaan berkenaan, pelumba berusia 18 tahun itu kini bersiap sedia untuk memperbaiki prestasinya dengan usaha keras dan tekad yang tinggi.
“Musim lalu saya menduduki tempat keenam keseluruhan dan untuk berada dalam saingan kejuaraan dunia saya perlu berada di kelompok tiga teratas. Tahun baru ini saya akan berusaha keras mencapai kejayaan itu,” katanya ketika ditemui di sidang media Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), semalam.
Ujar pelumba kelahiran Terengganu itu, terdapat ruang untuknya mempertingkatkan prestasi walaupun dibelenggu dengan kecederaan jari sejak dua bulan lalu.
“Saya menjangkakan perlumbaan tahun ini juga lebih getir dengan kehadiran ramai pelumba baharu dan berbakat. Tahun lalu ada seorang atau dua pelumba yang kuat, saya tak nafi pelumba baharu juga nanti akan laju dan bekerja keras.
“Saya pun harus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi saya. Lagi pun pelumba yang berada di kedudukan kedua Brian Uriarte masih lagi berlumba,” katanya yang menanti perbincangan antara ZK Racing dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk pengesahan beraksi di Junior GP.
Walaupun masih dalam proses pemulihan kecederaan, semangat juang pelumba kelahiran Terengganu ini masih lagi utuh.
Dia mengalami kecederaan pada tangan kanannya dua bulan lalu, membabitkan keretakan pada sendi tulang di hujung jarinya.
Kecederaan berkenaan memerlukan masa tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya, dengan perkembangan terkini menunjukkan keadaannya semakin baik.
“Saya cedera pada hujung jari, di antara sendi tulang, hujung jari saya patah dan bengkok, tetapi sekarang sudah mula pulih.
Minggu ini, wayar yang berada di dalam jari saya akan dibuang, dan minggu depan saya akan cuba membawa motosikal semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd