Hakim Danish hargai sokongan KBS

Hakim Danish hargai sokongan KBS


sukan@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelumba muda negara, Hakim Danish, terus mengorak langkah di arena perlumbaan antarabangsa apabila menerima sokongan berterusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usahanya mengharumkan nama Malaysia di peringkat Eropah.

Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi ZK Racing, Hakim Danish dilaporkan mengadakan kunjungan hormat ke Menara KBS di Putrajaya semalam, sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh hubungan antara pihak berkepentingan dalam pembangunan sukan permotoran negara.

Hakim Danish hadir ditemani Ketua Jabatan Pembangunan Bakat Sukan Permotoran PETRONAS SIC, Iliyas Rabani, serta Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Rombongan itu disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin, bersama wakil Bahagian Sukan Permotoran, Jabatan Pembangunan Sukan, Encik Muazam.

Menerusi sesi pertemuan berkenaan, Hakim Danish berkongsi perkembangan terkininya sebagai pelumba profesional serta cabaran yang ditempuh sepanjang penglibatannya dalam perlumbaan di Eropah, termasuk penyesuaian budaya, persaingan sengit, serta tuntutan fizikal dan mental sebagai atlet muda.

Sebagai penghargaan atas sokongan padu yang diterima, Hakim Danish turut meluangkan masa melawat Jabatan Pembangunan Sukan, JBSN, yang memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan kariernya sejak tahun 2021.

Pada masa sama, Hakim Danish turut merakamkan penghargaan kepada KBS dan JBSN atas komitmen berterusan dalam membantu atlet tempatan bersaing di pentas global, yang disifatkan sebagai antara faktor utama kejayaannya di peringkat antarabangsa.

SIC Racing, dengan sokongan menyeluruh daripada agensi kerajaan dan rakan strategik seperti PETRONAS, terus komited memperkukuh pembangunan bakat dalam sukan permotoran tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top