Hakim Danish selesa merendah diri

Hakim Danish selesa merendah diri


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli enggan berasa selesa dengan aksi cemerlang awal musim ini menerusi dua podium dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) di Eropah baru-baru ini.

Ini kerana pelumba berusia 17 itu perlu melalui 10 lagi perlumbaan dan optimis untuk kekal konsisten sehingga akhir musim.

Sambil bersyukur dengan dua kejayaan awal tersebut, Hakim Danish mengakui aspek latihan dan perlumbaan menjadi keutamaannya dalam usaha meningkatkan prestasi dari satu pusingan ke pusingan berikutnya.

“Masih awal. Sebarang kemungkinan boleh jadi. Saya cuma nak kekalkan momentum dan cuba dapat sebanyak mungkin podium serta kekal dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.

“Insya-ALLAH, saya akan berusaha yang terbaik dalam baki 10 lagi pusingan,” katanya ketika ditemui media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Ahad.

Selepas melengkapkan dua pusingan pertama kejuaraan itu di Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis, Hakim Danish kini menghuni tangga teratas carta keseluruhan RBMRC selepas mengumul keseluruhan 80 mata hasil empat penamat di kedudukan naib juara secara berturut-turut.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu turut menjelaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras dan komitmen yang tinggi untuk memperbaiki prestasi berdasarkan pengalamannya di kedua-dua kejuaraan itu sebelum ini.

“Setiap tahun saya sasar untuk meningkatkan prestasi, jadi saya banyak belajar daripada perlumbaan musim lalu.

“Saya analisis semula apa yang kurang dan cuba baiki kelemahan. Tahun ini saya dapat rasakan saya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Hakim Danish turut mengenal pasti dua pelumba yang menjadi pencabar utama dalam perebutan kejuaraan iaitu Brian Uriarte dari Sepanyol dan pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama.

“Saya hanya fokus pada latihan dan pastikan saya beri 100 peratus, baik dalam perlumbaan mahupun sesi latihan,” katanya.

Selain RBMRC, beliau turut beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) pada musim ini dan turut meraih keputusan memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Estoril, Portugal di tempat kedua.

Pusingan kedua Kejuaraan JrGP bakal berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol pada 31 Mei dan 1 Jun ini, manakala pusingan ketiga RBMRC dijadual berlangsung di Aragon, Sepanyol pada 7 dan 8 Jun.



Source link

OR

Scroll to Top