Hakim Danish mahu terus konsisten untuk berada di pentas podium. Foto Facebook Hakim Danish
PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli tekad untuk terus konsisten dan berada di podium menjelang dua perlumbaan di pentas antarabangsa dalam tempoh tiga minggu.
Hakim Danish akan bersaing pada perlumbaan JuniorGP di Mugello dua minggu lagi, selain RedBull MotoGp Rookies Cup di Jerman dari 12 hingga 13 Julai.
Justeru pelumba berusia 17 tahun itu berharap peminat sukan permotoran negara terus mendoakan kejayaannya bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Hakim Danish pada Ahad muncul naib juara pusingan keempat Kejuaraan RedBull MotoGp Rookies Cup di litar Mugello, Itali.
Pelumba yang berasal dari Terengganu itu hanya dipisahkan 0.011 saat (s) di belakang pemenang perlumbaan 2 iaitu Veda Pratama dari Indonesia yang mencatat masa terpantas 26 minit 44.347s.
“Perlumbaan semalam (Ahad) sangat sukar sebab ramai pelumba berada dalam kelompok hadapan. Banyak aksi potong memotong sama ada di selekoh atau laluan lurus.
“Saya cuba kekal dalam kelompok hadapan dan Alhamdulillah strategi itu menjadi. Apa pun saya bersyukur kerana dapat kawal perlumbaan dengan baik dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua,” katanya.
Tempat ketiga perlumbaan itu menjadi milik pelumba Sepanyol, Benat Fernandez dengan masa 26: 44.415s, manakala, pesaing terdekat Hakim Danish, Brian Uriarte menamatkan aksi di tangga kelima, ketinggalan +0.250s di belakang Veda.
Uriarte kini berada di kedudukan kedua dalam carta keseluruhan selepas mengutip 116 mata, dipisahkan 32 mata di belakang Hakim Danish, sementara Veda yang cemerlang di Muggello apabila menjuarai perlumbaan 1 dan 2 melonjak ke tangga ketiga dengan 92 mata keseluruhan.