Hakim paling baik di dunia meninggal akibat kanser

Hakim paling baik di dunia meninggal akibat kanser


Washington: Hakim Rhode Island, Frank Caprio yang terkenal dengan jolokan ‘hakim paling baik di dunia’ meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser.

“Malangnya, keadaan saya kembali merosot. Saya kini kembali ke hospital dan sekali lagi memohon anda semua mendoakan saya,” kata Caprio dalam satu rakaman video, merujuk kepada perjuangannya melawan kanser pankreas sebelum ini, yang dilaporkan The National.

Beliau menjadi hakim pada 1985 dan mendapat jolokan itu selepas penampilannya dalam rancangan ‘Caught in Providence’, di mana beliau sering menjadi tumpuan video tular kerana tindak balasnya yang penuh empati terhadap defendan yang dihadapkan kepadanya.

Dalam satu kes daripada episod pada 2017, seorang ibu yang sedang bersedih hadir dengan timbunan saman parkir sambil memberitahu Caprio bahawa dia bergelut untuk meneruskan hidup selepas anak lelakinya terbunuh.

Hakim itu membatalkan semua denda itu dan berkata: “Saya rasa tiada sesiapa pun dalam hidup mereka yang mahu melalui pengalaman seperti itu.”

Caprio ialah seorang tokoh komuniti yang disayangi dan mempunyai jutaan pengikut di media sosial.

Beliau pernah melawat Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, di mana beliau menyampaikan ucapan di Forum Komunikasi Antarabangsa Sharjah dengan memberitahu hadirin bahawa lawatannya didorong oleh hasratnya untuk terus mempromosikan mesejnya bahawa persefahaman dan belas kasihan boleh menyatukan manusia.

Gabenor Dan McKee mengarahkan supaya bendera Rhode Island dikibarkan separuh tiang sehingga hari pengebumiannya sambil menyifatkan Caprio sebagai seorang ‘khazanah’ yang dekat dengan masyarakat sebagai “satu simbol empati di mahkamah, menunjukkan kepada kita apa yang mungkin berlaku apabila keadilan disulami dengan sifat kemanusiaan,” lapor cawangan NBC di Boston.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top