Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 96)
Ibn Asakir mengeluarkan daripada Abdullah bin Soleh, katanya: Al-Mansur menulis kepada Siwar bin Abdullah, hakim Basrah: Perhatikan tanah yang menjadi pertikaian antara si fulan yang menjadi pemimpin dan si fulan yang berniaga. Berikannya kepada si fulan yang menjadi pemimpin.
Siwar menulis kepada Al-Mansur: Keterangan telah dikemukakan kepadaku bahawa tanah itu milik si peniaga. Aku tidak akan mengambil balik tanah itu dari tangannya melainkan dengan bayyinah/keterangan saksi juga.
Al-Mansur menjawab: Demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Engkau mesti memberikannya kepada si pemimpin itu.
Siwar menulis: Demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Aku tidak akan mengeluarkan tanah itu dari tangan si peniaga melainkan dengan sebenar.
Apabila surat itu sampai kepada Al-Mansur, beliau berkata: Aku telah memenuhi bumi ini-demi Allah-dengan keadilan. Hakim-hakimku telah mengembalikan aku kepada kebenaran. (Tarikh Al-Khulafa, Imam Suyuti halaman 265)
Kita mengambil beberapa pelajaran dan iktibar daripada kisah di atas:
1. Dalam sejarah Islam yang panjang, ada pemimpin yang taqwanya tinggi seperti 4 orang Khulafa ar-Rasyidin. Ada juga yang zalim melalui peribadinya seperti Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi. Ada yang pelbagai perangai. Al-Mansur adalah salah seorang pemerintah Islam yang boleh dilihat sifat dan sikapnya, tetapi biarlah berlaku adil iaitu melihat sikapnya secara menyeluruh, bukannya kisah di atas sahaja.
Di zaman kita, pemimpin ada pelbagai perangai juga. Ada yang baik. Ada yang sebaliknya. Jika anda menjadi pemimpin, berperangailah dengan perangai yang baik. Contohilah pemimpin utama kita, Nabi SAW. Allah mengiktiraf dengan firman-Nya:
وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang luhur.” (Al-Qalam: 4)
2. Pertikaian sentiasa berlaku antara pihak-pihak berkepentingan. Islam mementingkan keadilan supaya sesuatu hak itu dikembalikan kepada empunyanya.
3. Dalam kisah di atas, Siwar yang menjadi hakim Basrah tidak peduli kepada arahan Al-Mansur supaya diberi tanah itu kepada pemimpin. Seorang hakim mesti bebas dalam tugasannya tanpa terpengaruh dengan apa-apa dan sesiapa. Keadilan diletak pada tempatnya. Pemimpin dihormati tetapi bukan diikuti membuta-tuli.
4. Kata-kata Al-Mansur: “Aku telah memenuhi bumi ini-demi Allah-dengan keadilan. Hakim-hakimku telah mengembalikan aku kepada kebenaran”. Ini menggambarkan menegakkan keadilan dalam pemerintahan adalah aspek sangat penting. Ia menjadi tunjang kestabilan dan kedamaian dalam sebuah negara. – HARAKAHDAILY 30/4/2024
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.