Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 103)
Ibn Basyir, kadi Cordova menjatuhkan hukuman ke atas khalifah Abdul Rahman An-Nasir dalam satu kes yang diadukan kepadanya oleh seorang rakyat marhaen.
Beliau menyampaikan mengenai hukuman itu kepada khalifah, disertakan dengan amaran untuk letak jawatan kadi jika khalifah tidak mahu menerima hukuman, dan bersegera melaksanakannya. (Al-Bayan al-Fasil bainalhaq walbatil, Ali Fikri ms 218)
Dalam peristiwa lain, kadi Muhammad bin Abdul Rahman Al-Awqas menjatuhkan hukuman yang tidak menyebelahi khalifah Al-Mahdi Al-Abbasi.
Ia berlaku apabila khalifah mengambil sebuah rumah untuk Abdullah bin Jad’an yang asalnya wakaf untuk keluarga Abu Mulaikah. Mereka mengadu kepada kadi mengenai khalifah yang kemudiannya menjatuhkan hukuman menyebelahi mereka dan tidak menyebelahi khalifah yang terpaksa membelinya daripada mereka.
Dalam kes ketiga, kadi Shuraik An-Nakhaie menjatuhkan hukuman untuk seorang wanita itu mendapatkan sebuah kebun, di mana ia juga diingini oleh pemerintah Kufah iaitu Musa bin Isa Al-Abbasi.
Kadi Shuraik memenjarakan orang yang dihantar oleh pemerintah Kufah untuk menjadi orang perantaraan di antara kadi dan pemerintah. Kadi mengancam pemerintah untuk letak jawatan hingga pemerintah tunduk kepada hukumannya. (Al-Islam wal-wa’ulhadari, Dr Akram Dhia’ Al-Umari ms166-167)
Dalam kes keempat, Imam As-Suyuti pernah menyebut: Khalifah Al-Mu’tadid pernah memberikan kadi Abu Hazim sebuah buku.
Beliau menulis di dalamnya: ‘Sesungguhnya aku ada hak harta yang sepatutnya ditunaikan oleh si fulan. Sampai kepadaku berita bahawa pemiutangnya mensabitkan adanya hutang itu di sisimu. Aku telah membahagi-bahagikan kepada mereka (pemiutang itu) bahagian mereka dari hartanya. Maka jadikanlah kami ini seperti salah seorang dari mereka (iaitu pemiutang itu).’
Kadi menjawab perkataan khalifah dengan berkata: “Wahai Amir al-Mukminin! Urusan ini sudah keluar dari beban tengkukmu. Ia berada di tengkukku pula. Aku tidak boleh menjatuhkan hukuman terhadap harta seseorang untuk orang yang mendakwa melainkan ada saksi”.
Kadi tidak memberi apa-apa kepada khalifah kerana khalifah tidak mengemukakan bukti. (Tarikh Khulafa, Imam Suyuti ms 247-248)
Saya kemukakan 4 orang kadi di atas- Ibn Basyir, Muhammad bin Abdul Rahman Al-Awqas, Shuraik An-Nakhaie dan Abu Hazim.
Mereka hanyalah sebahagian dari ramai tokoh kadi di zaman kegemilangan Islam. Mereka hidup di tempat berbeza dengan khalifah atau pemerintah yang berbeza. Namun, persamaannya ialah semua mereka ada prinsip dalam menjalankan amanah sebagai kadi atau hakim di mahkamah.
Kita tidak biasa mendengar nama mereka ini. Kita juga tidak pernah membaca biografi hidup mereka.
Tentunya mereka ini mempunyai sejarah hidup yang hebat, yang sepatutnya dicontohi oleh para kadi, hakim, majistret dan Yang Arif apabila diberi amanah di tempat yang tinggi dalam sebuah negeri atau negara. – HARAKAHDAILY 13/10/2024