PEMAIN pertahanan Paris Saint-Germain (PSG) dan bintang antarabangsa Maghribi, Achraf Hakimi berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabit kesalahan dalam kes dakwaan rogol.
Ia selepas pihak pendakwa raya Perancis secara rasmi mengemukakan permohonan agar beliau dibicarakan di mahkamah jenayah.
Permintaan tersebut yang ditandatangani Pejabat Pendakwa Raya Nanterre pada 1 Ogos merupakan perkembangan terkini dalam siasatan kehakiman yang telah berlangsung lebih dua tahun.
Keputusan sama ada kes ini akan dibawa ke perbicaraan kini terletak di tangan hakim siasatan yang boleh sama ada meluluskan atau menolak cadangan itu.
Kes ini berpunca daripada satu insiden yang didakwa berlaku pada malam 25 Februari 2023 di kediaman Hakimi di Boulogne-Billancourt, sebuah kawasan di pinggir barat Paris.
Seorang wanita berusia 24 tahun mendakwa dia telah dirogol selepas diundang ke rumah pemain tersebut.
Wanita itu memberitahu polis bahawa mereka mula berbalas mesej di Instagram sejak Januari dan Hakimi telah mengaturkan kereta untuk membawanya ke rumahnya.
Setibanya di sana, dia mendakwa Hakimi mula mencium dan menyentuhnya tanpa kerelaan dan walaupun dia menolak, Hakimi didakwa memaksanya melakukan hubungan seksual.
Wanita itu akhirnya berjaya menolaknya dan meninggalkan rumah tersebut sebelum menghubungi rakannya untuk meminta pertolongan.
Wanita itu membuat laporan polis keesokan harinya, walaupun pada awalnya tidak memfailkan aduan rasmi.
Beberapa mesej yang dihantarnya kepada rakan mengenai kejadian itu kemudiannya diserahkan kepada pihak penyiasat.
Menurut akhbar Le Parisien, permintaan pertuduhan rasmi tersebut menunjukkan bahawa pihak pendakwa percaya terdapat cukup bukti untuk membawa kes ini ke mahkamah walaupun ia tidak bermakna Hakimi telah disabitkan bersalah.
Hakimi menafikan sebarang salah laku sepanjang siasatan dan menegaskan bahawa hubungan tersebut berlaku atas dasar suka sama suka.
Beliau terus bermain bersama PSG dan skuad kebangsaan Maghribi sepanjang proses siasatan berlangsung.
Peguam Hakimi, Fanny Colin, menyifatkan permintaan pihak pendakwa sebagai tidak masuk akal dan sukar difahami berdasarkan bukti dalam kes ini. Beliau turut berkata, siasatan sebelum ini telah menunjukkan beberapa percanggahan dalam kenyataan mangsa, khususnya dalam laporan penilaian psikologi.
“Ashraf Hakimi dan saya kekal tenang seperti ketika siasatan ini bermula.
“Jika permintaan ini diteruskan, kami pastinya akan menggunakan segala saluran rayuan yang ada,” katanya.
PSG pula tidak mengulas secara terperinci berhubung kes ini tetapi kekal menyokong pemain tersebut, dengan hanya memaklumkan alasan peribadi apabila Hakimi tidak hadir sesi latihan ketika fasa sensitif siasatan. Kelab itu menyatakan mereka terus meletakkan kepercayaan kepada proses undang-undang.
Hakim siasatan dijangka akan membuat keputusan dalam beberapa minggu lagi sama ada Hakimi akan dibicarakan di mahkamah atau tidak.