Cklamovskli menegaskan aksi Tier 1 menentang Singapura dan Palestin tetap penting buat skuad Harimau Malaya. Foto Bernama
PASUKAN Singapura dan Palestin tetap menjadi ujian terbaik untuk Harimau Malaya biarpun ramai beranggapan skuad negara rugi besar kerana tidak beraksi di kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang telah bermula 29 Ogos lalu.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan haluan skuad negara tetap berada di landasan tepat walaupun mungkin tidak berpeluang menguji pasukan elit seperti Iran, Tajikistan dan Afghanistan.
Menurutnya, dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Palestin pada jendela antarabangsa kali ini tetap ujian terbaik untuk para pemainnya kerana kemenangan akan memberikan mata tambahan untuk Malaysia memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Hanya kerana kita tidak ke CAFA, tidak bermakna kita sudah tidak berada di landasan yang betul.
“Jika ke CAFA, kami ke sana untuk menang kejohanan itu. Kami mempunyai mentaliti untuk menewaskan mana-mana pasukan yang berada di hadapan kami dan itu yang kami cuba lakukan dalam setiap aksi,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
Sebelum ini, Harimau Malaya menarik diri daripada saingan CAFA dengan alasan perubahan terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perubahan itu menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan walaupun selepas itu CAFA menjelaskan tidak pernah mengubah tarikh kejohanan.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Australia menjelaskan tumpuan utama pasukannya ketika ini adalah untuk memperkukuh identiti permainan serta membina keyakinan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan melalui dua aksi menentang Singapura dan Palestin itu.
“Dalam jendela antarabangsa kali ini, kami mempunyai dua perlawanan. Ia adalah peluang untuk kami menampilkan gaya permainan tersendiri, mencorakkan identiti pasukan dan dalam masa sama, memberi inspirasi kepada negara.
“Kami mahu rakyat berdiri di belakang para pemain dan terus bersama-sama membina bola sepak negara dan pasukan ini,” ujarnya.
Harimau Malaya akan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis dan kemudian akan berdepan pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.