Nabi SAW bukan sahaja mengajarkan amal ibadah dan peraturan hidup yang sempurna kepada umat manusia, malah baginda turut mengambil berat dalam membimbing hala tuju pemikiran mereka agar selaras dengan maksud utama mereka diciptakan oleh Allah SWT. Lantaran itu, dalam hal duniawi pun baginda berusaha memalingkan kefahaman mereka kepada aspek ukhrawi.
Misalnya, hadis daripada Ibnu Mas’ud RA katanya: Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabatnya: “Apakah anggapan kamu tentang orang yang mandul?” Para sahabat menjawab: “Orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Itu bukan orang yang mandul, tetapi ia adalah orang yang tiada seorang pun daripada anak-anaknya yang (masih kecil) meninggal dunia terlebih dahulu.” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi: “Apakah pula anggapan kamu tentang orang yang gagah?” Para sahabat menjawab: “Orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain.” RasululIah SAW bersabda: “Itu bukan orang yang gagah, tetapi ia adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika sedang marah.” (Riwayat Muslim)
Dalam pertanyaan pertama, Nabi SAW memalingkan kefahaman para sahabat RA mengenai orang yang mandul daripada orang yang tidak mempunyai anak kepada orang yang tiada seorang pun daripada anak-anaknya yang meninggal dunia terlebih dahulu. Ia bukan bererti kefahaman pertama itu salah, tetapi baginda SAW ingin menghalakan kefahaman mereka kepada aspek ukhrawi, iaitu mengenai kelebihan orang yang kematian anaknya yang masih kecil, lalu ia bersabar dan mengharapkan ganjaran pahalanya daripada Allah SWT terhadap musibah yang menimpa. Justeru, Imam an-Nawawi menyebut dalam menghuraikan hadis ini: “Terdapat pada hadis ini kelebihan kematian anak kecil dan bersabar kerananya.”
Terdapat banyak hadis yang menyatakan tentang kelebihannya, antaranya daripada Abu Musa al-Asy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: “Kamu sekalian telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?” Maka, mereka menjawab: “Ya.” Lalu Allah berfirman: “Kamu sekalian telah mencabut buah hatinya.” Lalu, mereka menjawab: “Ya.” Allah bertanya: “Apa yang dikatakan oleh hamba-Ku.” Mereka menjawab: “Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja’ (ucapan inna lillahi wainna ilaihi raji’un).” Lalu, Allah berfirman: “Bangunkanlah untuk hamba-Ku sebuah rumah di syurga dan berikannya nama Baitul Hamd (Rumah Pujian).” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Dalam hadis yang lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada kaum wanita: “Tiada seorang wanita pun daripada kalangan kamu sekalian yang kematian tiga orang daripada anaknya melainkan mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” Lalu, ada seorang wanita bertanya: “Jika dua orang anak (yang meninggal dunia)?” Maka, baginda pun menjawab: “Termasuk dua orang anak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaliknya, orang yang tiada seorang pun anaknya yang meninggal dunia, maka itulah orang yang ‘mandul’ disebabkan ia tidak mendapat kelebihan berkenaan di akhirat kelak daripada anaknya. Walaupun, barangkali ia mendapat kelebihan dari sudut yang lain, seperti doa anak yang soleh dan syafaat daripadanya.
Dalam pertanyaan kedua, Nabi SAW memalingkan kefahaman para sahabat RA mengenai orang yang gagah daripada orang yang tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa kepada orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Ini juga bukan bermaksud kefahaman pertama itu salah, tetapi baginda SAW ingin menghalakan kefahaman kepada aspek ukhrawi, iaitu mengenai kelebihan bersabar.
Ada banyak hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan sifat sabar, antaranya daripada Mu’az bin Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menahan marah, sedangkan dia mampu untuk melampiaskannya, nescaya Allah SWT akan memanggilnya pada hari kiamat kelak di hadapan seluruh makhluk sehingga Dia memberinya kebebasan untuk memilih mana-mana bidadari yang dia sukai.” (Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)
Selain hadis Ibnu Mas’ud RA di atas, terdapat banyak lagi hadis yang menunjukkan bagaimana baginda SAW cukup prihatin terhadap hala tuju pemikiran umatnya agar pemikiran mereka selaras dengan maksud unggul penciptaan mereka serta tidak hanyut dibuai manifestasi dan pesona duniawi. Antaranya, daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Bukanlah kaya itu kerana banyaknya harta benda, tetapi kaya itu ialah kaya jiwa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Antaranya, daripada ‘Ali bin Abi Talib RA katanya: Sabda Nabi SAW: “Orang yang bakhil ialah orang yang namaku disebut di sisinya, namun dia tidak berselawat ke atasku.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd