Halal bukan sekadar sijil tapi komitmen terhadap hukum syariah

Halal bukan sekadar sijil tapi komitmen terhadap hukum syariah


MEMPUNYAI ratusan restoran berangkai di seluruh negara bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi ia melibatkan sejumlah besar kakitangan dalam usaha menjaga kualiti produk yang dipasarkan kepada pelanggan.

Namun persoalan yang lebih menarik untuk dikupas, bagaimana QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) yang merupakan pemilik rangkaian restoran makanan segera KFC, Pizza Hut dan sos Life memastikan elemen halal dalam produk dijaga dengan baik?

Mengulas mengenai perkara ini, Sinar Islam Plus menemu bual Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands, Hayazi Darus baru-baru ini.

Membuka kalam, beliau berkata, QSR Brands akan terus komited memartabatkan prinsip halalan toyyiban melalui latihan menyeluruh kepada para pekerjanya yang kini menjangkau kira-kira 15,000 orang di dalam negara.

HAYAZI DARUS

“Halalan toyyiban merangkumi aspek makanan yang bukan sahaja dibenarkan syarak, tetapi merangkumi aspek baik iaitu bersih, suci, selamat dan bermutu.

“Kami juga turut menekankan aspek etika atau akhlak agar ia menjadi asas kepada setiap tindakan mereka di tempat kerja,” katanya.

Ujarnya, kefahaman yang mendalam ini penting supaya pekerja dapat menjalankan tugas dengan penuh integriti bukan semata-mata kerana ia adalah keperluan syarikat, tetapi juga kerana ia adalah satu amanah dan tuntutan agama.

“Bagi kami, halal bukan sekadar sijil, tetapi komitmen terhadap hukum syariah.

“Melalui latihan berterusan ini juga, pekerja akan dapat memahami prosedur dan peraturan halal yang lebih seragam serta mengelakkan berlaku kekeliruan kelak,” jelasnya.

Beliau yang telah berkhidmat di Unit Latihan sejak 2006 itu berkata, apabila kakitangan faham sesuatu prosedur yang perlu dipatuhi, mereka lebih cenderung untuk melaksanakannya secara konsisten dan bukan sekadar mengikut arahan.

“Selain itu, latihan yang menyeluruh membentuk budaya kerja yang beretika dan telus. Ia mewujudkan satu persekitaran kerja di mana setiap pekerja saling mengingatkan, bekerjasama dan prihatin terhadap pematuhan halal.

“Kesannya, organisasi bukan sahaja mematuhi syarat pensijilan halal, malah berjaya membina kepercayaan pelanggan Muslim dan bukan Islam melalui komitmen dalaman yang tulen terhadap nilai halal.

“Maka latihan ini bukan sekadar keperluan teknikal, tetapi asas kepada budaya kerja yang berlandaskan integriti dan tanggungjawab,” jelasnya panjang.

Amanah yang perlu dijaga

Tambahnya, latihan berterusan juga merupakan satu amanah yang perlu dijaga demi keyakinan pengguna terhadap kesemua produk QSR Brands.

BARISAN ahli Majlis Penasihat Syariah QSR Brands. Dari kiri: Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Datuk Dr Nooh Gadut (Pengerusi), Hayazi Darus, Prof Dr Suhaimi Abd Rahman.

BARISAN ahli Majlis Penasihat Syariah QSR Brands. Dari kiri: Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Datuk Dr Nooh Gadut (Pengerusi), Hayazi Darus, Prof Dr Suhaimi Abd Rahman.

Ujar Hayazi, latihan kesedaran halal menjadi tunjang utama bagi memastikan pematuhan piawaian seperti Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 dan MS 1500: 2019.

“Kami menyediakan kelas selama empat jam kepada para pekerja merangkumi modul atau silibus yang diguna pakai berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

“Mereka perlu faham berkaitan topik asas halal dan haram, prinsip halalan toyyiban, pengendalian najis mengikut syarak, pencegahan pencemaran silang, kebersihan peralatan dan asas pensijilan halal.

“Kami mahu pekerja faham dan konsisten mengamalkan prosedur halal walaupun tanpa pengawasan berterusan,” jelasnya.

Pelbagai latar belakang, kaum dan agama

Bagaimanapun menurutnya, pasti ada cabarannya dalam menguruskan sejumlah pekerja yang ramai.

“Melatih tenaga kerja dalam industri makanan berangkai memerlukan pendekatan tersendiri.

“Pekerja datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kefahaman agama. Jadi, perlu ada pendekatan yang jelas, mudah difahami dan menyeluruh,” jelas Hayazi.

KELAS kepada para pekerja merangkumi modul atau silibus yang diguna pakai berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

KELAS kepada para pekerja merangkumi modul atau silibus yang diguna pakai berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

Ketika mengulas mengenai kepentingan eksekutif halal bagi sesebuah restoran, Hayazi menjelaskan, peranan eksekutif halal sebagai penghubung antara syarikat dan badan pensijilan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah kritikal.

“Mereka merupakan benteng integriti pensijilan halal dan tanpa pengawasan mereka, sukar untuk mempertahankan kepercayaan pengguna kepada produk dan jenama itu sendiri,” katanya.

Ujarnya sebelum menutup kalam, dengan komitmen berterusan ini, QSR Brands membuktikan bahawa halal adalah teras kelangsungan jenama, memelihara kepercayaan pengguna dan memartabatkan nilai halalan toyyiban di setiap operasi.

Amalan QSR Brands dalam menjaga kualiti halal

Dalam menjaga kualiti halal, QSR Brands menubuhkan Majlis Penasihat Syariah serta Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal.

Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal mempunyai empat unit:

1 – Latihan Halal & Pentadbiran

2 – Audit Halal & Pematuhan

3 – Pensijilan & Pengurusan Data Halal

4 – Pengilang

Jawatankuasa Halal Dalaman (JKHD) turut ditubuhkan yang akan memastikan pengawasan dan tindakan pantas dibuat jika berlaku isu ketidakakuran.

JKHD merupakan wakil yang dilantik dari pelbagai jabatan iaitu eksekutif halal, bahagian operasi, pembelian, pemasaran, kualiti pergudangan dan latihan.

Ringkasan AI

  • QSR Brands komited memartabatkan prinsip halalan toyyiban melalui latihan menyeluruh kepada kakitangannya Halal bukan hanya sijil tapi komitmen terhadap hukum syariah, memerlukan pemahaman dan integriti pekerja Latihan berterusan pelihara budaya kerja yang etika dan mewujudkan persekitaran kerja yang mengingatkan dan bekerjasama dalam pematuhan halal Eksekutif halal berperanan kritikal sebagai penghubung antara syarikat dan badan pensijilan halal QSR Brands menubuhkan Majlis Penasihat Syariah serta Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal untuk menjaga kualiti halal



Source link

OR

Scroll to Top