KEPUTUSAN Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu tahun depan adalah tepat, kata bekas pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.
Beliau berkata, tindakan itu memperlihatkan nilai kebertanggungjawaban Hamidin rentetan beberapa isu dan kontroversi membabitkan pasukan kebangsaan serta kepimpinannya sejak kebelakangan ini.
“Mengenali beliau, saya rasa beliau ambil tanggungjawab penuh untuk tidak mempertahankan jawatan sebab akhir-akhir ini macam-macam versi cerita (khabar angin) keluar.
“Bila pelbagai cerita keluar dan (ditambah) prestasi pasukan kebangsaan sendiri yang belum layak lagi ke Piala Asia (sedangkan) sepatutnya boleh layak. Selepas beberapa siri kontroversi seperti pemergian Kim Pan Gon secara tiba-tiba yang merencatkan perjalanan skuad itu sendiri.
“Pada pandangan saya keputusan beliau satu tindakan yang tepat, telah mengambil kira beberapa faktor untuk memberi ruang dan peluang kepada muka-muka baharu menawarkan diri bertanding,” kata pengurus skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Hamidin yang menduduki kerusi nombor satu FAM sejak Julai 2018 mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadual berlangsung pada 15 Feb 2025.
Beliau membuat keputusan itu kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk melonjakkan FAM ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkembangan itu bakal menjadi satu kehilangan yang besar selepas sumbangan dan perubahan yang dibawa Hamidin dalam mengangkat mutu bola sepak negara secara keseluruhan.
“Kita akan merasakan kehilangan beliau yang telah membawa perubahan dalam bola sepak negara… Sepanjang kira-kira enam tahun di FAM beliau telah meletakkan persatuan ini lebih baik daripada sebelumnya.
“Jadi sesiapa yang menawarkan diri (menggantikan Hamidin) perlu mengambil tanggungjawab ini. Pada saya ini adalah kerusi panas, yang akan menentukan masa depan FAM ini di tangan ahli gabungan, mereka kena cari dan fikirkan untuk kesinambungan selepas ini,” katanya.
Pelantikan Hamidin sebagai Presiden FAM menggantikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54.
Beliau kemudiannya mempertahankan jawatan itu untuk penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.
Hamidin ketika ini merupakan Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 dan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC. – Bernama