Hamidin (tengah) tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan bagi penggal baharu 2025-2029 yang menyaksikan tempatnya diambil alih oleh Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang banyak membantu beliau sepanjang menerajui badan induk itu.
Menurut Hamidin, beliau berterima kasih kepada Hannah atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan kepada FAM menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selama ini.
“Tanpa bantuan dan sokongan beliau, sudah tentu ia sedikit sebanyak menjejaskan perancangan FAM, baik dari segi pentadbiran, infrastruktur dan pembangunan pasukan kebangsaan.
“Beliau banyak membantu FAM dari segi sokongan kewangan. Sebagai contoh, beliau begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
“Saya mula mengadakan pertemuan dengan beliau pada awal tahun 2023. Selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beliau, FAM mendapat peruntukan RM45 juta bagi pembinaan projek NTC Fasa 2.
“FAM juga harus berterima kasih kepada beliau atas pemberian geran padanan sukan untuk penganjuran program atau aktiviti seperti Pestabola Merdeka. Geran tersebut banyak membantu FAM melaksanakan program dirancang,” katanya.
Hamidin membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada kongres pemilihan bagi penggal baharu 2025-2029 yang menyaksikan tempatnya diambil alih oleh Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Joehari yang pada penggal sebelum itu memegang jawatan sebagai Naib Presiden, secara rasmi diangkat sebagai presiden kelapan badan induk bola sepak negara itu sejak 1951 selepas diumumkan menang tanpa bertanding.
Hamidin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa agensi di bawah KBS seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atas segala sokongan dan khidmat nasihat yang diberikan kepada FAM.
“Pada masa sama, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menambah peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pasukan kebangsaan,” ujarnya.