Hamidin mampu beri nilai tambah kepada FAM

Hamidin mampu beri nilai tambah kepada FAM


PENGARUH bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin sepanjang menerajui badan induk itu tidak dinafikan memberikan impak besar kepada ekosistem sukan tersebut.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman percaya Hamidin yang masih memegang jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mampu memberikan nilai tambah kepada presiden baharu Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.

Biarpun begitu Noor Azman menegaskan FAM pada masa ini belum lagi mengadakan perbincangan untuk mewujudkan jawatan posisi Presiden Kehormat untuk bekas presiden ketujuh tersebut.

“Biarpun begitu, FAM sentiasa bersedia mendengar nasihat Hamidin yang memiliki pengalaman luas bagi memperkasakan segenap aspek badan induk ini.

“Ya, pengalaman Tan Sri (Hamidin) dalam pengurusan bola sepak dalam dan luar negara merupakan sesuatu yang amat berharga buat arena bola sepak Malaysia.

“Ini kerana beliau masih lagi mempunyai peranan sebagai Ahli Majlis FIFA hingga 2027, selain kedudukan dalam AFC,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa FAM bersama media pada Khamis.



Source link

OR

Scroll to Top