Melbourne: Selepas mendominasi tajuk utama menjelang Grand Prix (GP) Australia yang membuka tirai saingan Formula Satu (F1) musim ini, Lewis Hamilton gagal mencuri tumpuan di Litar Albert Park, semalam, apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dalam penampilan sulungnya bersama Ferrari.
Hamilton dan peminat Ferrari pastinya mengharapkan keputusan yang lebih baik ketika juara dunia tujuh kali itu memulakan usaha memburu gelaran kelapan.
Sebaliknya, Lando Norris dari McLaren muncul pemenang, bekas rakan sepasukannya di Mercedes, George Russell, menaiki podium, sementara Kimi Antonelli, pemandu muda Itali yang menggantikannya di “Silver Arrows”, meraikan penampilan sulung yang mengagumkan di tempat keempat.
Hamilton dilihat bergelut untuk sekadar meraih satu mata, manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Kecewa dengan prestasi jenteranya, Hamilton beberapa kali berbalas mesej dengan nada tegang bersama jurutera perlumbaannya di Ferrari, Riccardo Adami, melalui radio pasukan.
Hamilton berkata, dia bersyukur sekurang-kurangnya dapat menamatkan perlumbaan yang menyaksikan enam daripada 20 jentera gagal menamatkan saingan.
“Secara keseluruhan, ini bukan apa yang saya harapkan, tetapi terlalu banyak perkara yang perlu saya biasakan, termasuk pelbagai perubahan daripada oleh pasukan.
“Kemudian dari segi keseimbangan kereta… ia sangat, sangat sukar.
“Saya fikir kami boleh memperbaikinya pada perlumbaan seterusnya, dan semoga dapat mendapatkan kereta dalam keadaan yang lebih baik. Saya percaya ada lebih banyak potensi dalam kereta ini berbanding apa yang kami capai hari ini (semalam),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd