Hampir 1,000 maut, sejuta penduduk terjejas bencana di Sumatera

Hampir 1,000 maut, sejuta penduduk terjejas bencana di Sumatera


Jakarta: Hampir 1,000 orang disahkan maut manakala hampir sejuta lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda utara Sumatera sejak beberapa minggu lalu.

Statistik ini dikeluarkan oleh agensi bencana Indonesia pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan 961 kematian, 234 orang masih hilang dan kira-kira 5,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat setakat Khamis.

Agensi itu turut merekodkan kerosakan pada lebih 156,000 rumah. Sebanyak 52 daerah dan bandar kekal terjejas teruk.

Ketua BNPB, Suharyanto memaklumkan kepada Presiden Prabowo Subianto pada petang Ahad bahawa seramai 975,075 penduduk kini berlindung di pusat pemindahan sementara di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Aceh menjadi kawasan paling kritikal dengan lebih 900,000 penduduk hilang tempat tinggal, menurut BNPB.

Air banjir mula surut di beberapa daerah pesisir pantai, namun kawasan luas di tanah tinggi tengah masih terputus hubungan, jelas BNPB.

Presiden Prabowo telah melawat kawasan dilanda banjir di Aceh pada Ahad. Beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat tergempar yang dihadiri menteri Kabinet, komander tentera dan pegawai wilayah.

Musim hujan di Indonesia yang lazimnya memuncak antara November dan April sering membawa banjir besar.

Kumpulan alam sekitar dan pakar bencana telah memberi amaran sejak bertahun-tahun bahawa penebangan hutan yang pesat, pembangunan tidak terkawal dan lembangan sungai yang semakin teruk telah meningkatkan risiko kepada komuniti di Sumatera.

Hujan lebat lanjut diramalkan melanda beberapa bahagian pulau itu dalam masa terdekat, menimbulkan kebimbangan terhadap nasib keluarga yang telah berpindah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top