am@hmetro.com.my
Ranau: Pemandu van yang parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 6 Jalan Ranau-Telupid, petang semalam, disahkan meninggal dunia selepas hampir tujuh jam bertarung nyawa.
Lelaki berusia 51 tahun itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.15 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata nahas jam 4.57 petang semalam masing-masing membabitkan sebuah van, lori dan Toyota Veloz.
“Siasatan awal di lokasi mendapati van dipandu mangsa dari arah Telupid memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori dari arah Ranau.
“Akibatnya, van berkenaan mengundur lalu melanggar sebuah Toyota Veloz yang berada di belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori berusia 31 tahun dan pemandu Veloz berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu van cedera serius pada kedua-dua kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd






