Lebih dua juta kenderaan sehari dijangka kembali ke Lembah Klang hujung minggu ini, dengan aliran trafik di rangkaian Lebuh Raya PLUS diramal meningkat ketara susulan pergerakan balik selepas Aidilfitri.
PLUS Malaysia Berhad menganggarkan jumlah trafik boleh mencecah antara 2 juta sehingga 2.3 juta kenderaan sehari pada hari puncak bermula esok hingga Ahad melibatkan perjalanan dari utara, selatan dan Pantai Timur menuju ke Lembah Klang.
“Peningkatan kenderaan itu membabitkan pergerakan trafik jarak jauh dan perjalanan antara bandar utama menuju ke Lembah Klang selepas bercuti sempena Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lonjakan tersebut adalah sebahagian daripada peningkatan trafik bermusim setiap kali musim perayaan apabila orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas bercuti di kampung halaman.
Dalam masa sama, kemasukan semula kenderaan ke Lembah Klang dari pelbagai arah dijangka menambah tekanan trafik sepanjang tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal serta merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi membantu melancarkan aliran trafik.
“Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi jadual perjalanan yang disediakan menerusi MyPLUS-TTA bagi mengelakkan kesesakan teruk di lokasi tumpuan,” katanya.
PLUS turut memaklumkan beberapa langkah mitigasi akan dilaksanakan termasuk pengaktifan laluan Smart Lane di lokasi tertentu serta peningkatan rondaan PLUSRonda bagi membantu pengguna sepanjang tempoh trafik tinggi ini.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang tempoh peningkatan trafik,” katanya.
Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet mencukupi serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika melalui plaza tol.
Maklumat trafik semasa boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS, aplikasi X @plustrafik, X @lpt2trafik atau menerusi paparan mesej elektronik (VMS) sepanjang lebuh raya serta stesen radio tempatan.






