LARUT: Hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini menimbulkan persoalan apabila banyak jawatankuasa penaja bahagian parti itu didakwa melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh rakan-rakan parti itu di seluruh negara yang melihat perkembangan tersebut berlaku selepas pembubaran beberapa bahagian Bersatu sebelum ini.
Katanya, keadaan itu seolah-olah menunjukkan wujud kecenderungan untuk membawa parti tersebut lebih hampir kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).
“Itu yang dimaklumkan kepada saya. Ramai kawan-kawan di seluruh negara beritahu majoritinya adalah mereka yang datang daripada PKR,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar sesi Reset di Dewan Sungai Bayor Selama di sini hari ini.
Menurut Hamzah, perkembangan tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju sebenar parti berkenaan pada masa hadapan.
Katanya, beliau sebelum ini dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu kerana didakwa melanggar disiplin, namun mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menurutnya dilihat mempunyai kecenderungan bekerjasama dengan pimpinan PH.
“Kalau saya dipecat kerana berjumpa dengan Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), bagaimana pula dengan mereka yang secara terbuka mahu bersama dengan Anwar?” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa perkara dalam Bersatu yang menurutnya tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan asal.
Katanya, keadaan tersebut turut menjadi antara faktor yang mendorong beliau bersama beberapa rakan lain mengambil langkah politik yang berbeza.
“Perkembangan politik semasa menuntut setiap pemimpin membuat keputusan yang terbaik demi memastikan perjuangan yang dibawa kekal relevan serta mendapat sokongan rakyat,” katanya. – UTUSAN






