Hamzah dilantik Timbalan Presiden, Azmin jadi Setiausaha Agung Bersatu

Hamzah dilantik Timbalan Presiden, Azmin jadi Setiausaha Agung Bersatu


KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dua jawatan tertinggi parti itu bagi penggal akan datang sudah diisi secara rundingan dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) setakat ini.

Menurut beliau, dua jawatan itu ialah Timbalan Presiden yang ditawarkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini ahli MPT ditawarkan jawatan Setiausaha Agung.

Bagaimanapun, tegas Muhyiddin, persetujuan itu masih tertakluk kepada Perlembagaan parti iaitu mana-mana ahli Bersatu masih boleh menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

“Keputusan yang saya capai ini sebab mereka (MPT) bagi mandat kepada saya untuk mencari satu persefahaman tentang siapa yang mungkin layak untuk menjawat jawatan penting, maka itu saya telah membuka rahsia tadi (tentang lantikan Hamzah dan Mohamed Azmin).

“Tetapi kalau ada kalangan mereka (ahli) yang berhasrat untuk bertanding, itu hak mereka. (Keputusan) ini supaya semua jawatan utama itu dapat kita susun lebih awal supaya suhu kempen pemilihanparti nanti tidak jadi terlalu panas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucao menutup Konvensyen Bersatu 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian konvensyen sama awal pagi tadi, Muhyiddin memberi bayangan jawatan tertinggi parti itu mungkin tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti tersebut yang dijadual Oktober depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau telah berunding dengan Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan keputusan itu yang bersedia untuk berundur setapak bagi merebut jawatan Naib Presiden dan memberi laluan kepada Hamzah.

Malah, ujarnya, Ahmad Faizal juga bersedia memberi ruang dan peluang kepada Hamzah atas dasar mengiktiraf peranan Setiausaha Agung berkenaan yang turut memainkan peranan penting sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen selain mempunyai hubungan akrab dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain.

Berhubung keputusan melantik Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu pula, Muhyiddin berkata, ia dibuat berdasarkan ketokohan pemimpin berkenaan yang mempunyai banyak pengalaman dalam politik selain merupakan Ketua Pembangkang DUN Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut menyifatkan dakwaan kononnya mereka yang ingin bertanding pada pemilihan parti itu kelak perlu membayar sejumlah wang adalah hanya khabar angin.

Kepada soalan bila Bersatu akan membawa kes lompat parti enam Ahli Parlimennya ke mahkamah pula, Muhyiddin berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada peguam yang sedang meneliti kes tersebut sebelum proses perundangan dimulakan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top